Thursday, October 10, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri pelancongan Asean sepakat tangani impak koronavirus

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Menteri-menteri pelancongan ASEAN menekankan perlunya untuk mengukuhkan mekanisme koordinasi ASEAN untuk mengatasi secara kolektif cabaran-cabaran yang melonjak ke atas sektor pelancongan yang telah memberikan kesan kepada perusahaan pelancongan dan penerbangan di mana ia membawa kepada kadar pengangguran dan pemberhentian yang tinggi serta memberikan kesan buruk kepada mata pencarian sebilangan besar komuniti yang terkesan.

    Menteri-menteri pelancongan ASEAN juga bersetuju terhadap beberapa perjanjian termasuk untuk mengurangkan impak daripada wabak COVID-19 menerusi usaha bersama termasuk menyokong pembangunan dan pelaksanaan pasca Pelan Pemulihan Krisis COVID-19 seperti membangunkan lagi keupayaan pelancongan ASEAN.

    Selain itu, melibatkan pihak-pihak industri yang berkepentingan untuk menanamkan kepercayaan pengguna dan perusahaan, meneroka penyelesaian yang kreatif dan inovatif untuk merangsang sektor pelancongan, memastikan ingatan yang teratas bagi rantau berkenaan dalam usaha pemasaran dan program promosi pelancongan bersama dengan matlamat untuk memajukan ASEAN sebagai destinasi pelancongan unggul.

    Penekanan dan persetujuan itu dibuat dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh menteri-menteri pelancongan ASEAN yang bersidang dalam Mesyuarat Istimewa Menteri-menteri Pelancongan ASEAN bagi Koronavirus 2019 secara persidangan video, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, hari ini, pada mesyuarat berkenaan, Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Menteri-menteri pelancongan ASEAN yang bersidang dalam Mesyuarat Istimewa Menteri-menteri Pelancongan ASEAN bagi Koronavirus 2019 (COVID-19) secara persidangan video.

    Mesyuarat istimewa berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Kemboja, Tuan Yang Terutama Dr Thong Khon dan turut dihadiri oleh Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi serta menteri-menteri pelancongan ASEAN.

    Kenyataan menyatakan bahawa Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyampaikan kenyataannya di mesyuarat berkenaan, menekankan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sidang Kemuncak Istimewa ASEAN bagi Penyakit Koronavirus 2019 di mana perlunya ada perpaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran luar biasa yang dibawa oleh COVID-19 serta menghargai usaha mereka dan juga perkongsian maklumat, pengalaman dan langkah-langkah yang diambil di mana ia amat penting untuk mengukuhkan lagi koordinasi ASEAN supaya dapat mengawal penularan pandemik berkenaan di rantau ini.

    Yang Berhormat Dato turut menggesa ketua-ketua pertubuhan pelancongan kebangsaan (NTO) untuk meneroka kaedah yang kreatif dan inovatif untuk menyesuaikan diri dengan norma baru dalam sektor pelancongan, mengkaji semula strategi-strategi sekarang dan masa akan datang dengan memaksimumkan penggunaan teknologi digital supaya
    sektor berkenaan kekal relevan dan mampan pada masa hadapan.

    Kenyataan menyatakan bahawa mesyuarat istimewa berkenaan diakhiri dengan mengeluarkan kenyataan bersama oleh menteri-menteri pelancongan ASEAN bagi mengukuhkan lagi kerjasama untuk menghidupkan semula pelancongan ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda