Menteri Pembangunan diberi penghormatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar diberikan penghormatan untuk menerima anugerah Distinguished Honorary Fellow oleh pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Kejuruteraan ASEAN (AFEO) semasa Persidangan AFEO (CAFEO) ke-37 yang berlangsung di Jakarta, Republik Indonesia, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan di sini, hari ini, persidangan itu dirasmikan oleh Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo dan dihadiri oleh beberapa orang menteri negara rantau ASEAN.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi telah dijemput khas oleh Presiden Persatuan Insinyur Indonesia (PII) bagi menghadiri majlis perasmian dan persidangan berkenaan.

Turut hadir pada Majlis Perasmian CAFEO ke-37 ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, yang juga merupakan presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei.

Turut menyertai Yang Berhormat Menteri Pembangunan ke majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Lim Sui Kau Alice dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan dan Jabatan Kerja Raya.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan bergambar ramai dengan para penerima anugerah yang lain. – Gambar oleh Kementerian Pembangunan

Menurut kenyataan, Distinguished Honorary Fellow dianugerahkan kepada jurutera cemerlang individu dengan sumbangan cemerlang kepada pembangunan peringkat nasional dan institusi kejuruteraan dan / atau negara-negara ASEAN, menggalakkan kemajuan profesion kejuruteraan dan pengalaman serta pengetahuan yang tinggi dalam bidang kejuruteraan.

Kenyataan menyatakan bahawa Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi merupakan satu-satunya penerima dari Negara Brunei Darussalam bagi anugerah berkenaan.

AFEO terdiri daripada 10 buah institusi kejuruteraan bukan kerajaan dan organisasi dari negara-negara ASEAN. Negara Brunei Darussalam diwakili PUJA Brunei yang menjadi ahli AFEO sejak 1984. Persekutuan itu bermatlamat untuk menggalakkan muhibah dan persefahaman antara institusi-institusi kejuruteraan di rantau ASEAN serta untuk menghasilkan ASEAN Baseline Standard bagi bidang kejuruteraan dengan matlamat untuk memudahkan penglibatan dan mobiliti jurutera-jurutera dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Persidangan yang dianjurkan oleh institusi ahli kepada AFEO yang diadakan secara tahunan mengikut putaran abjad negara ASEAN itu mempunyai peranan yang penting untuk membantu meningkatkan profil sektor kejuruteraan, mempamerkan kepentingannya kepada pembangunan yang dinamik kepada seluruh rantau ASEAN.

Ia juga bertujuan untuk menunjukkan kepada para belia bahawa kejuruteraan adalah menarik, mencabar dan bagaimana jurutera boleh mengubah dunia serta persekitaran hidup, membawa kehidupan yang lebih baik kepada rakyat negara-negara ASEAN.

Kenyataan menyatakan bahawa selepas majlis perasmian tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan berserta menteri-menteri ASEAN diketuai oleh presiden Persatuan Insinyur Indonesia (PII) menyertai lawatan ke Pameran Kejuruteraan Indonesia yang mempamerkan kehebatan kejuruteraan terkini Indonesia daripada infrastruktur kepada penyelesaian digital dan pameran mengenai tenaga, elektrik dan pembaharuan tenaga.