Saturday, January 18, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri Pendidikan hadiri Persidangan UNESCO di Paris

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Brunei Darussalam untuk Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) menghadiri Persidangan Agung UNESCO ke-42 di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, Republik Perancis, bermula 7 hingga 22 November.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, menyatakan bahawa turut mengiringi Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa persidangan berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Perancis dan Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke UNESCO, Puan Yang Terutama Datin Paduka Hajah Rakiah binti Haji Abdul Lamit @ Hamid, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin sebagai Setiausaha Agung bagi Suruhanjaya Kebangsaan Brunei Darussalam untuk UNESCO serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Paris dan Kementerian Pendidikan.

    Persidangan agung itu telah dihadiri oleh wakil-wakil dari 194 negara ahli serta ahli bersekutu, bersama-sama dengan pemerhati, organisasi antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Persidangan itu diadakan untuk membincangkan dan menilai dasar-dasar, aktiviti, bajet organisasi serta pemilihan ahli bagi lembaga eksekutif.

    Di samping itu, persidangan agung berkenaan juga mengadakan Perdebatan Dasar Umum di mana ketua delegasi dari setiap negara ahli diberikan peluang untuk menyampaikan kenyataan kebangsaan mengenai dengan komitmen dan perkembangan dalam menyokong agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya dalam bidang pendidikan, sains dan budaya.

    Dalam segmen berkenaan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam tetap komited dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 dengan menyediakan pendidikan berkualiti dan holistik untuk semua, sebagaimana yang dipaparkan dalam Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023-2027 yang mempunyai tiga objektif utama iaitu mengejar tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan, meningkatkan ekosistem pendidikan yang inovatif serta membangunkan sumber manusia.

    Yang Berhormat Datin juga menghadiri Segmen Peringkat Tinggi dan Dialog Menteri Peringkat Tinggi mengenai Pendidikan untuk Keamanan yang dianjurkan sebagai acara sampingan semasa persidangan Aagung.

    Pada 2023, UNESCO juga menganjurkan Forum Belia UNESCO ke-13 yang bermula pada 14 hingga 15 November dengan memberikan peluang kepada para belia untuk terlibat dalam perbincangan serta berkongsi cadangan dan penyelesaian mengenai kesan sosial perubahan iklim di mana Negara Brunei Darussalam diwakili oleh pelajar dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awangku Muhammad Adam bin Pengiran Haji Ahmad.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menghadiri persidangan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah, PYT Datin Paduka Hajah Rakiah, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar ramai semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda