Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Menteri Pertahanan Kedua terima kunjungan muhibah

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, hari ini, telah menerima kunjungan muhibah daripada Setiausaha Pertahanan Negara Republik Filipina, Delfin N. Lorenzana, di Kementerian Pertahanan.

    Delfin N. Lorenzana sedang berada di negara ini bagi lawatan rasmi selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Mei.

    Sejurus tiba di Bolkiah Garison, Lorenzana disambut dengan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

    Sementara itu, pada pertemuan berkenaan, kedua-dua belah pihak menekankan komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dua hala pertahanan dan ketenteraan sedia ada dengan meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang pertahanan dan ketenteraan melalui platform dua hala dan pelbagai hala.

    Pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Lorenzana di Istana Nurul Iman.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menerima kunjungan muhibah daripada Delfin N. Lorenzana.
    Delfin N. Lorenzana memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

    Pada hari yang sama, Lorenzana mengambil kesempatan untuk melawat Muzium Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pusat Latihan Pelbagai Guna CAE Brunei, di mana juruterbang-juruterbang dari Tentera Udara Filipina telah dan akan menghadiri latihan.

    Lorenzana juga menyampaikan ceramah kepada para peserta Kursus Maktab Turus ke-12 di Akademi Pertahanan ABDB, di mana beliau juga berinteraksi dengan pegawai-pegawai tempatan dan antarabangsa, termasuk peserta dari Republik Filipina yang turut menyertai kursus tersebut.

    Sebagai sebahagian daripada program lawatan rasmi berkenaan, Lorenzana juga akan membuat lawatan ke beberapa buah tempat menarik dan bersejarah di kawasan ibu kota, Bandar Seri Begawan.

    Sementara itu, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi bin Bol Hassan, masing-masing akan menghoskan makan malam rasmi dan makan tengah hari rasmi yang akan dihadiri oleh Lorenzana.

    Di samping interaksi dua hala, kedua-dua belah pihak juga aktif dalam bidang pelbagai hala termasuk platform mesyuarat-mesyuarat di bawah Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus.

    Lawatan rasmi Lorenzana, adalah lawatan timbal balik berikutan lawatan rasmi Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ke Republik Filipina pada 27 hingga 30 Ogos 2019.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...