THE HAGUE, BELANDA, 6 SEPT – Menteri pertanian Belanda dalam satu pengumuman meletakkan jawatan yang mengejutkan semalam.
Menurutnya, dia bukan orang yang sesuai untuk jawatan itu berikutan bantahan pada musim panas oleh golongan petani ke atas undang-undang peraturan baharu.
Henk Staghouwer baru pulang dari Brussels, di mana dia mengadakan rundingan perjanjian dengan Suruhanjaya Eropah untuk membatalkan pengecualian Belanda kepada had pengagihan baja.
Belanda, Denmark, Ireland dan wilayah Flanders di Belgium, telah dibenarkan melebihi had baja yang boleh dikembalikan petani ke ladang mereka kerana keluasan tanah negara yang agak kecil. Tetapi Brussels mahu menghentikan pengecualian itu secara berperingkat kerana Belanda gagal memenuhi piawaian kualiti air Kesatuan Eropah (EU).
Sektor pertanian yang menguntungkan di negara itu mengalami krisis sejak keputusan mahkamah pada tahun 2019 yang memaksa kerajaan mengurangkan pelepasan nitrogen oksida dan ammonia yang dihasilkan oleh ternakan.
Beribu-ribu petani telah mengadakan protes, menyekat bandar dengan traktor dan membakar jerami di sepanjang lebuh raya. – AP