Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Menteri Rusia lawat Arab Saudi

    DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 23 MEI – Seorang pegawai tertinggi Rusia yang menghadapi sekatan di Barat berhubung perang Moscow ke atas Ukraine melawat Arab Saudi dan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya di negara itu awal hari ini, lapor media kerajaan.

    Lawatan Menteri Dalam Negeri Rusia, Vladimir Kolokoltsev ke Riyadh diadakan beberapa hari selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berucap pada sidang kemuncak Liga Arab yang diadakan di bandar pelabuhan Laut Merah Arab Saudi, Jeddah pada Jumaat lalu.

    Lawatan itu menggariskan bagaimana kerajaan dan negara-negara Teluk Arab, secara tradisinya pelanggan keselamatan Amerika Syarikat, telah mengekalkan hubungan mereka dengan Moscow di tengah-tengah perang Ukraine.

    Agensi akhbar Saudi yang dikendalikan kerajaan berkata Kolokoltsev bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Saudi, Putera Abdulaziz bin Saud.

    “Semasa sesi itu, mereka membincangkan cara-cara untuk meningkatkan laluan kerjasama keselamatan antara Kementerian Dalam Negeri kedua-dua negara, selain membincang beberapa isu kepentingan bersama,” kata laporan itu, tanpa mengulas lanjut.

    Media Rusia tidak melaporkan mengenai lawatan itu.

    Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, putera raja berpengaruh berusia 37 tahun, juga telah berusaha meletakkan kerajaan itu sebagai perunding berpotensi antara Kyiv dan Moscow untuk menamatkan perang.

    “Kerajaan bersedia untuk terus menjadi pengantara antara Rusia dan Ukraine dan menyokong semua usaha antarabangsa untuk menamatkan krisis secara politik ke arah keamanan,” kata putera raja itu pada sidang kemuncak Liga Arab pada Jumaat. – AP

    Gambar serahan agensi akhbar Saudi menunjukkan Vladimir Kolokoltsev (kiri) bertemu dengan Putera Abdulaziz bin Saud di Riyadh, Arab Saudi pada 22 Mei 2023. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...