Friday, December 1, 2023
29.6 C
Brunei

    -

    Menteri Sabah gesa masyarakat kuasai kemahiran digital

    KOTA KINABALU, 7 NOV – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menggesa masyarakat termasuk penjawat awam negeri supaya proaktif dan pantas mempelajari sekali gus menguasai ilmu serta kemahiran digital sebagai persediaan mendepani cabaran kecerdasan buatan (AI).

    Mohd Arifin berkata ini penting kerana AI dilihat turut menyumbang kepada risiko keselamatan siber meskipun teknologi itu mempunyai kemampuan dalam membantu memudahkan pelbagai urusan pekerjaan.

    Menurutnya, kemampuan teknologi AI boleh disalah guna termasuk untuk mempengaruhi pengguna, menyebarkan maklumat palsu, melancarkan serangan siber atau aktiviti lain yang berbahaya dalam konteks keselamatan siber.

    “Kita sekarang sudah melangkah ke (teknologi) AI. Bidang ini bukan sahaja membantu dari sudut ekonomi tetap juga dalam memperkasa nilai kemasyarakatan dan perkhidmatan awam.

    “(Bagaimanapun) ia sangat mencabar dan memerlukan kemahiran (untuk menguasainya) serta kekuatan benteng dari sudut nilai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan BIMP-EAGA Cyber Security Summit 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

    Program dua hari berakhir esok itu dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada para pemimpin digital kerajaan Sabah, pegawai kanan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kementerian serta jemputan dari rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

    Ia dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN) dengan kerjasama Sabah Net Sdn Bhd bertujuan menyumbang kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam supaya lebih berkualiti dan selamat serta mengutamakan keperluan pengguna terutama rakyat. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Semakin ramai pelajar Korea mahu jadi doktor kerana gaji tinggi

    SEOUL, 1 DIS - Pendapatan tinggi telah menjadi sebab utama pelajar sekolah rendah dan menengah di Korea Selatan memilih menjadi doktor perubatan sebagai laluan...