Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Dengan hasrat untuk mengenali lebih dekat peluang pelaburan dan pembangunan industri akuakultur di Brunei, rombongan Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Kebangsaan, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, Singapura, Dr Koh Poh Koon berserta rombongan mengadakan lawatan ke dua lokasi pengusaha akuakultur di Serasa, Muara, hari ini.
Semasa lawatan ke lokasi pengusaha akuakultur itu, Dr Koh diiringi oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin serta pegawai-pegawai dari Jabatan Perikanan.
Dr Koh serta rombongan memulakan lawatan ke sangkar ternakan ikan di Tanjong Pelompong yang diusahakan oleh O.D.E Aquaculture & Agriculture Co. di mana mereka dialu-alukan dan diberikan penerangan mengenai operasi ternakan ikan dalam sangkar berkenaan oleh Pengurus Besar O.D.E, Haji Azahari bin Haji Chuchu.
Beliau menerangkan bahawa operasi ternakan ikan sangkar di Tanjong Pelompong itu bermula pada 2015 dan mempunyai sebanyak 270 unit sangkar.
Jelasnya, ikan-ikan yang diternak di sangkar berkenaan, pada masa ini, dipasarkan bagi pasaran tempatan dan dijangka akan mula dipasarkan ke pasaran luar negara seperti Hong Kong pada 2017.


Kemudian Dr Koh bersama rombongan meneruskan lawatan ke nurseri ikan Searay Farm di Serasa di mana rombongan berkenaan dialu-alukan oleh Pengarah Urusan Searay Aquatech Sdn Bhd, Jeannie Loh Lee Kung.
Semasa lawatan berkenaan, Jeannie memberikan penerangan mengenai jenis-jenis rega ikan yang diternak di nurseri berkenaan di mana nurseri tersebut mampu untuk menghasilkan kira-kira 40 ribu rega ikan marin setahun bagi pasaran tempatan. Nurseri berkenaan mula beroperasi pada 19 September 2016.
Lawatan itu dihasratkan untuk memberi peluang bagi pengusaha dan pelabur dari Singapura untuk meneroka peluang pelaburan dan kerjasama dengan pengusaha tempatan khususnya dalam sektor sumber-sumber asli dan sektor-sektor yang berkenaan.