Menteri Sri Lanka kecam Facebook

COLOMBO, 11 NOV – Seorang menteri kanan Sri Lanka menuduh syarikat gergasi media sosial Facebook hari ini kerana menapis komen beliau yang mempersoal kerakyatan calon pilihan raya presiden Gotabhaya Rajapakse.

Kerakyatan Rajapakse, adik bekas presiden Mahinda, me-rupakan isu utama sebelum pengundian pada Sabtu memandangkan undang-undang Sri Lanka melarang rakyat yang memegang dua kerakyatan daripada menyandang jawatan presiden.

Menteri Komunikasi Harin Fernando bertanya dalam pos Facebook di laman kementeriannya semalam sama ada Rajapakse harus dibenarkan bertanding, mencadangkan beliau masih seorang warga Amerika Syarikat.

“Adakah Rajapakse dibenarkan bertanding dalam pilihan raya presiden di Sri Lanka?” tanya Fernando dalam pos yang telah dibuang sekarang.

“Jika dipilih, bolehkah beliau mengangkat sumpah dan melaksanakan tugas? Gotabhaya menjadi rakyat AS pada 2003, melucutkan pasport Sri Lankanya selepas berhijrah ke Los Angeles selepas bekerja sebagai tentera selama 20 tahun.

Beliau pulang ke Colombo pada 2005, apabila beliau berkata beliau menuntut balik kerakyatan Sri Lanka dan dilantik setiausaha pertahanan di bawah pentadbiran abangnya.

Gotabhaya menegaskan beliau melucutkan kerakyatan AS pada Mei tahun ini.

Fernando berkata Facebook mengeluarkan pos daripada laman kementerian rasminya semalam, dan beliau mengulangi dakwaan tersebut di Twitter sementara mengadu beliau telah ditapis. Jurucakap Facebook berkata mereka secara rutin mengeluarkan mana-mana pos yang mengandungi maklumat peribadi atau sulit.

“Kami membuang isi kandungan ini apabila kami sedar mengenainya,” beritahu syarikat kepada AFP. – AFP