Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Menteri Pendidikan Thailand, Dr. Teerakiat Jareonsettasin, juga selaku Presiden Majlis SEAMEO, yang berada di negara ini bagi rangka lawatan dua hari, pagi tadi, telah mengadakan lawatan ke Pusat Serantau SEAMEO bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (SEAMEO VOCTECH), Gadong.
Kunjungan Dr. Teerakiat bersama rombongannya adalah untuk mengenal pasti dan memahami operasi-operasi dan aktiviti yang diadakan oleh pusat berkenaan.
Dalam ucapannya, Dr. Teerakiat berkata, kunjungan berkenaan merupakan permintaan Perdana Menteri Thailand dalam sama-sama mempelajari dan mendalami sistem pendidikan di Brunei kerana walaupun Brunei sebuah negara yang kecil, tetapi telah berjaya mempunyai sistem pendidikan yang begitu mantap.
Beliau kemudian menerangkan sedikit sebanyak mengenai sistem pendidikan di Thailand di mana pendidikan memainkan peranan penting bagi para belia yang telah menamatkan pengajiannya untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang baik mengikut bidang-bidang yang telah mereka ikuti.
Menurutnya lagi, pelajar di Thailand, sebahagian daripadanya meneruskan pengajian mereka di peringkat akademik dan sebahagian lagi akan meneruskan pengajian mereka dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan.
Manakala itu, Pemangku Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Hajah Noorzainab binti Haji Abdulladi dalam ucapannya pula telah menerangkan mengenai beberapa inisiatif yang telah diambil dan diadakan oleh pusat berkenaan.
Menurutnya, rata-rata negara di rantau ini telah menganggap TVET sebagai salah satu pendidikan utama dalam tujuh bidang keutamaan pendidikan menteri-menteri pendidikan 2015-2035.
Beliau menjelaskan lagi, sebagai pusat serantau yang menumpukan kepada pendidikan teknikal dan vokasional serta latihan, pusat itu mempunyai peranan penting membantu negara-negara dan rantau ini dalam pembangunan kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran.
Lawatan tersebut turut menyaksikan Dr. Teerakiat merasmikan Southeast Asia (SEA) Library di pusat berkenaan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Pengarah Urus Setia SEAMEO, Dr. Gatot Hari Priowirjanto; Penolong Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan Thailand, Duriya Amatavivat; dan Pengerusi Lembaga Pengarah SEAMEO VOCTECH, Pengiran Dr. Haji Mohammad Esa Al- Islam bin Pengiran Haji Mohammad Yunus.