Menteri tinjau perkembangan Temburong

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Untuk meninjau dan melihat secara dekat mengenai perkembangan dan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan di Daerah Temburong khususnya dalam menaikkan lagi perekonomian Satu Kampung Satu Produk (1K1P), Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa mukim dan kampung di daerah berkenaan, kelmarin.

Lawatan kerja berkenaan juga diharap akan dapat menjalin ikatan silaturahim antara ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan Daerah Temburong dengan pimpinan di peringkat akar umbi. Selain itu, ia juga diharapkan akan dapat mencetus semangat program 1K1P dengan kerjasama dan sokongan padu daripada penduduk kampung.

Yang Berhormat Pehin berserta rombongan memulakan lawatan ke Kedai Kampung Pekan Bangar di mana rombongan menyaksikan produk-produk 1K1P yang ada di seluruh Daerah Temburong dikumpulkan dan menjadikannya satu pusat 1K1P di daerah berkenaan.

Seterusnya Yang Berhormat Pehin meneruskan lagi lawatan ke beberapa buah tempat untuk melihat secara lebih dekat lagi penghasilan beberapa produk 1K1P.

Di Balai Raya Kampung Menengah, Mukim Bangar, rombongan menyaksikan pembuatan karipap mini MPK Kampung Menengah.

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Temburong.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyaksikan pameran semasa lawatan kerja ke Daerah Temburong.

Manakala di Kampung Belais dan Buda-Buda, Mukim Bokok pula rombongan meninjau perkembangan Pondok Memancing dan Riadah, MPK Belais dan Buda-Buda.

Rombongan seterusnya meninjau Rumah Panjang Semabat, Mukim Bokok untuk mendengarkan taklimat serta melihat pembuatan kuih jala, pameran kraf tangan dan pembuatan parang.

Yang Berhormat Pehin sterusnya mengadakan sesi muzakarah bersama para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi Daerah Temburong di kediaman rasmi pegawai Daerah Temburong.

Dalam sesi muzakarah, Yang Berhormat Pehin membincangkan dan menyeru para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung untuk sama-sama menarik para belia untuk melibatkan diri secara lebih aktif dalam majlis perudingan mukim dan kampung terutamanya dalam memperkembangkan lagi 1K1P.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin juga telah menyentuh mengenai perkembangan terkini Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Pehin beserta rombongan meneruskan lagi lawatan pada sebelah petang dengan  meninjau ke Kampung Senukoh, Mukim Labu yang memperlihatkan produk 1K1P yang cukup terkenal iaitu Mi Kuning MPK Senukoh.

Kemudian, rombongan mengakhiri lawatan dengan membuat tinjauan ke Kampung Batu Apoi, Mukim Batu Apoi untuk melihat pembuatan Ambulong MPK Batu Apoi.

Dengan adanya lawatan kerja seperti ini dihasratkan akan memberi peluang kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung berinteraksi serta bertukar-tukar fikiran dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berserta rombongan mengenai pembangunan dan kesejahteraan penduduk di Daerah Temburong.

Hadir sama dalam rombongan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari dan Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KHEDN, pemangku pegawai Daerah Temburong, pegawai-pegawai kanan KHEDN serta pegawai-pegawai dari Jabatan Daerah Temburong.