Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Bagi meninjau kelancaran sesi persekolahan dan persiapan para pelajar menghadapi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), satu lawatan kerja diadakan ke beberapa buah sekolah hari ini.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan rombongan terdiri daripada Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah, Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan melawat Sekolah Rendah Haji Tarif dan Sekolah Rendah Saba Darat, Kluster 2.
Ketibaan Yang Berhormat Pehin dan rombongan ke Sekolah Rendah Haji Tarif dialu-alukan oleh Guru Besar, Dayang Sarimah binti Haji Lusin dan Ketua Kluster 2, Haji Metussin bin Haji Jais.
Semasa lawatan ke sekolah itu, Yang Berhormat Pehin dan rombongan memfokuskan kepada suasana pengajaran dan pembelajaran para penuntut Tahun 6 terutamanya dalam subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.
Yang Berhormat Pehin turut meninjau kelas pelajar-pelajar berkeperluan khas di sekolah tersebut kemudian mendengar taklimat disampaikan oleh guru besar. Lawatan diakhiri dengan sesi soal jawab dan bergambar ramai. Yang Berhormat Pehin dan rombongan seterusnya meneruskan lawatan ke Sekolah Rendah Saba Darat, Kluster 2 dan dialu-alukan oleh Guru Besar, Hajah Azrina binti Haji Yusof dan Ketua Kluster 2.


Pada lawatan ke sekolah ini, Yang Berhormat Pehin dan rombongan meninjau pembelajaran Matematik di bilik darjah Tahun 6A manakala Tahun 6B menyaksikan pengajaran Bahasa Inggeris Pra B serta berinteraksi dengan para pelajar.
Mereka kemudiannya mendengar taklimat disampaikan Hajah Azrina dan diakhiri dengan sesi soal jawab.
Yang Berhormat Pehin turut melahirkan rasa kagum dan gembira dengan usaha sekolah memotivasikan para guru dan mempersiapkan pelajar Tahun 6 yang akan menduduki PSR pada bulan Oktober kelak.
Lawatan diakhiri dengan bergambar ramai serta ramah mesra Yang Berhormat Pehin dengan pelajar-pelajar sekolah berkenaan.