Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pagi tadi meneruskan lawatannya Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB).
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof serta Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajijah binti Haji Moktal.
Lawatan dan tinjauan Yang Berhormat Pehin ke SMALHB adalah bagi menzahirkan keprihatinan dan sokongan KHEU atas usaha-usaha Jabatan Pengajian Islam (JPI) dan pimpinan sekolah Arab terhadap segala persiapan, penilaian, strategi dan sasaran pihak sekolah.
Ketibaan Yang Berhormat Pehin dan rombongan dialu-alukan oleh Pengetua SMALHB, Hajah Norjainah binti Haji Buntar, guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.
Dalam lawatan itu, Yang Berhormat Pehin berkesempatan menyaksikan sesi kemasukan pelajar-pelajar baru Pra U 1 sambil berinteraksi dengan pelajar-pelajar.
Terdahulu, bermula jam 7:30 pagi, SMALHB mengadakan Majlis Pendaftaran Kemasukan Pelajar-pelajar Baru Pra U 1.



Seramai 349 orang pelajar berjaya masuk ke Pra U 1 pada tahun ini, dengan 192 orang daripadanya mengikuti jurusan Syariah, 88 orang dalam jurusan Usuluddin, 21 orang dalam jurusan Lughah Arabiah, 20 orang dalam jurusan Umum 1 dan 28 orang lagi pelajar dalam jurusan Umum 2.
Tujuan majlis diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar baru dan ibu bapa serta penjaga mereka tentang pentadbiran, akademik, hal ehwal pelajar dan kokurikulum sekolah. Hari pendaftaran diselajurkan dengan sesi Ta’aruf agar pelajar-pelajar baru dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran sekolah yang baru serta menjalinkan silaturahim sesama warga sekolah.
Yang Berhormat Pehin semasa ditemui pihak media menyatakan bahawa lawatan berkenaan merupakan lanjutan lawatan yang telah diambil kesempatan pada awal tahun persekolahan.
Tambah beliau, ia memberikan peluang untuk pihak kementerian dalam memberikan dorongan di samping memberikan penghargaan kepada keluarga dan ibu bapa yang memilih atau memasukkan anak mereka ke sekolah Arab.
Pada masa ini, jelas Yang Berhomat Pehin, sekolah berkenaan mempunyai 650 orang pelajar semuanya dan sekitar 86 orang daripadanya telah memilih aliran umum.
“Ini menunjukkan bahawa ibu bapa mempunyai kepercayaan kepada sekolah pendidikan aliran Arab yang mana anak-anak mereka mempunyai kesempatan untuk mendapatkan pendidikan agama dan mempunyai ruang untuk melanjutkan pelajaran jika anak-anak mereka itu mempunyai kelulusan yang bersesuaian.”
Yang Berhormat Pehin dalam lawatan itu turut berkesempatan berjumpa dengan ibu bapa pelajar-pelajar baru yang mana beliau mendapati bahawa anak-anak mereka yang dimasukkan di sekolah itu tidak terhad kepada seorang anak sahaja.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan lagi, sekolah Arab dan pelajaran Arab merupakan satu aliran pendidikan dalam aliran pendidikan kebangsaan negara ini yang telah diberikan oleh pihak kerajaan bagi memastikan bahawa Brunei mempunyai prasarana pendidikan Islam dan pendidikan Bahasa Arab yang akan terus berkembang pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin juga melahirkan perasaan gembira kerana rata-rata pelajar baru berkenaan menunjukkan keyakinan dan semangat yang berkobar-kobar dalam melanjutkan pelajaran mereka mengikut bidang-bidang yang di ambil.
Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, di negara ini, Bahasa Arab haruslah diperkembangkan di sekolah-sekolah Arab.
Lawatan Yang Berhormat Pehin ini juga adalah untuk memastikan bahawa sekolah-sekolah Arab mempunyai program bagi meningkatkan penggunaan Bahasa Arab dan setakat ini, Yang Berhormat Pehin telah mendapati bahawa terdapat program-program yang sudah dimulakan dan akan dipertingkatkan lagi bagi menimbulkan suasana Bahasa Arab di sekolah Arab.