KADANG–kadang para ibu kehilangan idea untuk menyediakan bekal makanan untuk anak-anak ke sekolah.
Jika tidak menepati caranya, setentunya akan membuatkan anak-anak tidak berselera untuk menikmatinya.
Maka, ibu harus menggunakan kreativiti tersendiri dalam menghasilkan menu makanan enak dan lazat untuk menceriakan lagi hari persekolahan anak-anak.
Selamat mencuba!
Fritata Salmon
Bahan-bahan:
250 gram ubi kentang yang dipotong bulat dan direbus.
4 biji telur
100 gram isi ikan salmon yang disalai seketika.
1 sudu teh daun taim kering.
80 gram kacang pis.
2 sudu makan minyak zaitun.
¼ sudu teh garam.
¼ sudu teh serbuk lada hitam.
Cara membuat:
Pukul telur sehingga kembang. Kemudian masukkan isi ikan salmon, kacang pis, daun taim, garam dan serbuk lada hitam. Kacau sebati. Sementara itu, panaskan minyak dan tuangkan bancuhan tadi ke dalam kuali. Masak sehingga adunan keperangan. Sedia untuk dihidangkan menjadi bekal anak ke sekolah.
Mufin Telur
Bahan-bahan:
10 biji telur
2 batang sosej yang dihiris nipis.
¼ cawan daun bayam yang dipotong halus
¼ sudu teh garam
¼ sudu teh serbuk lada sulah
Sedikit marjerin
Cara membuat:
Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah Celsius. Sapukan marjerin pada bekas aluminium. Campurkan potongan sosej dan daun bayam. Ketepikan. Sementara itu, pukul telur bersama garam dan serbuk lada sulah. Tuangkan campuran telur ke dalam mangkuk sayuran dan kacau sebati. Masukkan campuran tersebut ke dalam bekas aluminium mufin dan bakar dalam ketuhar selama 15-20 minit.
Pasta Spiral Berkeju
Bahan-bahan:
200 gram pasta spiral yang direbus dan ditoskan.
100 gram isi ayam yang dipotong nipis
½ biji bawang Holland yang dipotong dadu.
2 ulas bawang putih yang dicencang halus.
2 sudu besar sos tomato.
1 cawan susu segar.
1/3 cawan mayones.
1 cawan parutan keju parmesan.
1 sudu teh oregano kering
¼ sudu teh serbuk lada sulah.
¼ sudu teh garam
1 sudu besar minyak
Cara membuat:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang Holland sehingga naik wangi. Masukkan isi ayam dan masak sehingga daging lembut. Kemudian, masukkan sos tomato, susu, mayones, serbuk lada sulah dan garam. Biarkan seketika. Selepas itu, masukkan pasta, oregano dan keju. Gaul sekata. Hidangan pasta sedia untuk disimpan ke dalam bekas untuk dibawa anak ke sekolah.