SERINGKALI ramai individu mula memikirkan untuk menjaga aspek pemakanan apabila berat badan mula naik.
Perkara itu bukan sahaja baik untuk menurunkan berat badan malah ia juga langkah terbaik bagi memastikan tahap kesihatan kekal stabil.
Antara menu makanan terbaik diamalkan ketika seseorang itu berdiet adalah jenis masakan berebus di mana ia tidak mengandungi banyak minyak, rendah kalori, tidak berlemak dan tetap enak untuk dinikmati.
Berikut adalah antara beberapa resipi menu makanan sihat yang boleh dipraktikkan. Selamat mencuba!
Ikan Siakap Stim Limau
Bahan-bahan:
5 ulas bawang putih.
Stok ayam atau 1 kiub pati ayam yang dikacau dengan air panas.
Cili api merah
Daun limau
Serai
Halia
Daun ketumbar
Limau nipis
Sos ikan (5 sudu besar)
Sedikit garam
Sedikit gula
Cara membuat:
Seekor ikan siakap yang dicuci bersih dan kelarkan.
Sediakan bekas yang sesuai mengikut saiz ikan dan letakkannya di dalam pengukus.
Serai dikerat serong kasar dan koyak-koyakkan daun limau.
Selepas itu, sumbat semua serai, daun limau dan halia ke dalam perut ikan.
Kiub ayam tadi larutkan dengan air panas, curahkannya di atas ikan dan biarkan ia masak selama 20-25 minit.
Periksa dan sentiasa pastikan ikan itu betul-betul masak.
Masukkan bawang putih yang telah dicencang, cili api merah, perahan limau nipis, sos ikan, garam dan gula dalam satu mangkuk. Gaulkannya dengan sebati.
Apabila ikan sudah masak, keluarkan ia dan letakkannya di dalam sebuah pinggan besar.
Akhir sekali, curahkan ikan tersebut dengan campuran bawang putih yang telah dicencang, cili api merah, perahan limau nipis, sos ikan, garam dan gula yang digaulkan dengan sebati.
Sup Brokoli Telur
Bahan-bahan:
300 gram brokoli
50 gram isi ayam yang dicencang
2 biji telur
1 liter air rebusan ayam
3 ulas bawang putih yang ditumbuk lumat
1 sudu teh minyak
Garam dan lada sulah secukup rasa
Cara membuat:
Bersihkan brokoli, toskan dan potong sayur itu pada saiz yang kecil.
Panaskan minyak lalu tumis bawang putih sehingga naik bau.
Masukkan ayam dan tumis dalam tempoh beberapa minit lagi.
Masukkan air rebusan ayam dan didihkan. Apabila mendidih, masukkan brokoli dan biarkan sehingga brokoli itu lembut.
Pecah telur dan kacau sedikit (jangan sampai telur terlalu hancur).
Didih lagi dalam beberap minit.
Perisakannya dengan garam dan lada sulah dengan secukupnya.
Taburkan cincangan daun bawang.
Mi Sup Cina
Bahan-bahan:
1 genggam ikan bilis
2 ulas bawang putih yang diketuk
3 biji bebola ikan
2 keping kek ikan yang dipotong
10 gram hirisan daging ayam rebus
1 bungkus mi kuning
Sedikit minyak untuk menumis
1 sudu makan minyak bijan
1 sudu teh serbuk lada sulah
Sedikit daun sup dan daun bawang untuk hiasan
Garam secukup rasa
Cara membuat:
Rebus ikan bilis hingga mendidih dan keluarkannya.
Dalam bekas lain, panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga ia garing.
Tuang bawang putih ke dalam periuk air rebusan ikan bilis. Masukkan sedikit garam, minyak bijan, lada sulah, kek ikan dan bebola ikan.
Setelah kuah masak, bolehlah api itu ditutup.
Hidangkan bersama mi.