Menu Pahang yang memikat selera

NEGERI terbesar di Semenanjung iaitu Pahang bukan sahaja kaya dengan hasil bumi dan hutan tetapi juga makanannya.

Setiap daerah di Pahang mempunyai keunikan masakan yang tersendiri seperti patin masak tempoyak di Temerloh dan puding diraja di Pekan.

Gabungan setiap daerah menghasilkan resipi-resipi yang enak dan unik. Selamat mencuba!

Daging Salai Lemak Cili Api Belimbing Buluh

Bahan-bahan:

500 gram daging yang telah disalai

15 biji cili api merah yang dikisar

5 cm kunyit hidup yang dikisar

3 batang serai yang diketuk

2 biji kentang yang dipotong panjang

Beberapa biji belimbing buluh

1 keping asam keping

2 cawan santan pekat

Sedikit air

Sedikit garam

Cara membuat:

Kisar cili padi dan kunyit hidup sehingga halus.

Satukan di dalam periuk bahan yang dikisar bersama daging salai, santan, sedikit air, kentang, asam keping dan serai.

Setelah kentang empuk masukkan belimbing buluh dan garam.

Masak sehingga pecah minyak dan sedia untuk dihidangkan.

Puding Diraja Pahang

Bahan-bahan jala emas:

5 biji kuning telur dibuang tali pusatnya

1 cawan gula

2 cawan air

1 helai daun pandan yang disimpul

Kelongsong acuan tiga bucu

Cara membuat jala emas:

Satukan gula dan air di dalam periuk yang sesuai. Masukkan daun pandan. Masak sehingga mendidih. Keluarkan daun pandan.

Kacau kuning telur sehingga sebati dan tapis.

Isikan sedikit kuning telur ke dalam kelongsong acuan tiga bucu dan kirai ke dalam air gula yang sedang mendidih tadi.

Kirai seperti membuat roti jala tetapi dalam bentuk bulatan.

Biarkan telur dalam air gula selama 1-2 minit dan keluarkan dengan menggunakan chopstick ataupun garfu.

Lakukan proses yang sama sehingga selesai dalam 3-4 kali dan ketepikan jala emas yang sudah siap.

Bahan-bahan kuah kastard:

1 biji telur

400 ml susu cair

1 tin air buah campur

1 tin air buah nenas

1 cawan air

1 helai daun pandan

2 sudu gula

Cara membuat kuah kastard:

Satukan bahan-bahan di dalam periuk masak dengan api yang sederhana, kacau sehingga mendidih dan biarkan ia sejuk di dalam peti.

Bahan-bahan untuk hiasan:

Potong buah prun mengikut selera masing-masing.

Kismis, ceri merah dan hijau dibelah empat.

Gajus digoreng sehingga ia masak.

Gulai Tempoyak Ikan Patin

Bahan-bahan:

1 ekor ikan patin yang dibasuh dengan air asam jawa untuk menghilangkan bau hanyirnya.

15 biji cili api yang dikisar

5 cm kunyit hidup yang dikisar

5 sudu besar tempoyak

1 helai daun kunyit

3 kuntum bunga kantan

Daun kesum

500 ml air

Garam secukup rasa

Cara membuat:

Masukkan air bersama dengan bahan-bahan yang dikisar dan tempoyak.

Didihkan di atas api secara perlahan-lahan.

Apabila sudah mendidih masukkan ikan, daun kunyit, bunga kantan dan daun kesum. Kacau rata.

Masukkan garam dengan secukup rasa dan biarkan ia seketika.

Sedia untuk dihidangkan.