Menu ‘ubi tonyoh’ jadi tumpuan musim tengkujuh

TUMPAT – Sebut sahaja ubi kayu rebus dicicah dengan kelapa muda parut, sudah pasti membuatkan ‘kecur liur’ apatah lagi jika dimakan panas-panas pada musim tengkujuh.

Namun begitu, sejenis lagi menu tempatan yang juga diperbuat daripada ubi kayu kini semakin mendapat sambutan iaitu ubi kayu kukus atau digelar sebagai ubi tonyoh.

Pengusaha menu berkenaan, Nor Harlizam Mamat, 35, berkata menu tradisional ini diperbuat daripada jenis ubi kayu kuning dan tidak boleh menggunakan jenis ubi yang lain.

Menurutnya, kuih tradisional itu dibuatnya sejak setahun yang lalu dan kini semakin mendapat sambutan terutamanya pada musim tengkujuh.

“Caranya agak mudah sahaja iaitu ubi kayu ini akan diparut terlebih dahulu dan direndam dalam air selama 15 minit sebelum dikukus pula selama setengah jam.

Pengusaha menu berkenaan, Nor Harlizam Mamat berkata menu tradisional ini diperbuat daripada jenis ubi kayu kuning dan tidak boleh menggunakan jenis ubi yang lain. – Agensi
Menu tempatan yang diperbuat daripada ubi kayu kini semakin mendapat sambutan iaitu ubi kayu kukus atau digelar sebagai ubi tonyoh. – Agensi

Enak dimakan ketika masih panas 

“Selepas siap dikukus, ubi kayu itu akan berwarna semakin kekuningan dan diisi ke dalam bekas dengan digaul bersama kelapa parut dan sedikit gula dan garam. Paling enak jika dimakan ketika masih panas kerana aromanya yang membangkitkan selera,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Bunut Sarang Burung di sini, hari ini.

Nor Harlizam berkata setiap hari dia memasak kira-kira 50 hingga 70 kilogram (kg) ubi kayu yang diperoleh daripada penduduk kampung di situ. Katanya ubi kayu kuning sebenarnya agak keras dan perlu dikukus lama berbanding ubi kayu biasa yang lebih enak direbus begitu sahaja.

“Sebelum ini orang ramai lebih tertumpu kepada putu halba, namun saya percaya selepas ini ubi kayu parut yang saya namakan ubi tonyoh ini, akan turut dikenali.

“Bayangkan, sejak saya tularkan di laman sosial, banyak pengunjung yang datang mencubanya dan kini banyak mendapat tempahan setiap hari,” katanya yang menjual ubi tonyoh itu dengan harga RM3 sebungkus.

Jelasnya, disebabkan tidak ‘menang tangan’ melayan permintaan pelanggan dia kini turut dibantu oleh suami, Wan Zahari Wan Teman, 51, yang turut membuat penghantaran kepada pelanggan termasuk dari Kota Baru, Tumpat serta Pasir Mas.

“Kebanyakan tempahan diterima daripada jabatan kerajaan selain orang perseorangan yang tertarik dengan menu tradisional ini yang mungkin sukar ditemui di tempat lain,” katanya yang berniaga mulai 10 pagi sehingga 7 malam. – Bernama