Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Menunaikan sembahyang dalam kapal terbang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Dua

    3. Mengetahui masuk waktu sembahyang

    Orang yang hendak mengerjakan sembahyang mesti mengetahui dengan yakin atau zhan (sangkaan) dengan ijtihadnya bahawa waktu sembahyang telah pun masuk.

    Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang tanpa mengetahui waktu sembahyang telah masuk dengan yakin atau zhan maka tidak sah sembahyangnya itu sungguhpun pada hakikatnya waktu sembahyang telah pun masuk.

    Mengetahui waktu sembahyang itu ada tiga peringkat seperti berikut:

    Pertama: Mengetahui masuk waktu sembahyang dengan sendiri seperti tahu waktu Maghrib dengan tenggelamnya matahari.

    Termasuk dalam peringkat ini juga seperti menerima khabar masuknya waktu sembahyang daripada orang yang dipercayai, mendengar azan orang yang arif akan masuknya waktu ketika cuaca cerah dan penglihatan orang yang arif dari alat yang menunjukkan waktu, kompas dan waktu-waktu yang telah diuji dan dimaklumi.

    Kedua: Mengetahui masuk waktu sembahyang dengan berijtihad seperti dari pembacaan al-Qur’an, mengulangkaji pelajaran, kerja menjahit, kokokan ayam dan seumpamanya. Sebagai contoh, pada kebia- saannya sesudah seseorang itu mengerjakan sembahyang Maghrib dia membaca al-Qur’an secara sederhana, berdasarkan penelitiannya bahawa sesudah dia membaca beberapa ayat al-Qur’an itu waktu isya’ pun masuk.

    Wajib bagi penumpang yang mengerjakan sembahyang untuk menghadap kiblat di sepanjang sembahyangnya meskipun berada di dalam kapal terbang.
    Sebelum membuat penerbangan, persediaan waktu-waktu sembahyang di sesebuah negeri yang akan dilalui perlulah dipelajari.

    Demikian juga dengan mendengar ayam berkokok pada sekian-sekian waktu, berdasarkan penelitiannya bahawa pada kebiasaannya jika ayam itu berkokok maka waktu sembahyang telah pun masuk.

    Ketiga: Mengikut ijtihad orang lain apabila dia tidak mampu berijtihad.

    Oleh yang demikian, jika seseorang itu boleh mengetahui waktu sembahyang melalui peringkat pertama di atas iaitu mengetahui waktu sembahyang dengan sendiri maka dia tidak boleh berijtihad dan tidak boleh mengikut ijtihad orang lain.

    Berlainan halnya jika dia tidak mampu mengetahui waktu sembahyang melalui peringkat pertama tersebut maka bolehlah dia melakukan peringkat kedua iaitu berijtihad dan tidak boleh dia melakukan peringkat ketiga iaitu mengikut ijtihad orang lain. Adapun orang yang buta, harus baginya mengikut ijtihad orang lain walaupun dia mampu untuk berijtihad.

    Orang yang mengerjakan sembahyang dalam kapal terbang hendaklah terlebih dahulu mengetahui waktu sembahyang telah masuk dengan mengikut peringkat-peringkat yang disebutkan di atas seperti melihat sendiri matahari tenggelam, terbit fajar dan sebagainya atau bertanya kepada orang yang tahu mengenai waktu sembahyang.

    Tambahan lagi pada sekarang ini, kemudahan-kemudahan yang disediakan di setiap penerbangan seperti waktu setempat dan kedudukan kapal terbang ketika dalam penerbangan dapat diketahui oleh setiap penumpang.

    Oleh itu sebelum membuat penerbangan, persediaan-persediaan seperti waktu-waktu sembahyang di sesebuah negeri yang akan dilalui perlulah dipelajari.

    4. Menghadap kiblat

    Menghadap kiblat ketika sembahyang hukumnya adalah wajib kerana ia termasuk dalam syarat-syarat sah sembahyang. Melainkan semasa dalam ketakutan seperti dalam peperangan sama ada sembahyang fardhu atau pun sunat, dan sembahyang sunat ketika dalam pelayaran yang bukan maksiat yang susah baginya menghadap kiblat.

    Menyentuh perkara sembahyang fardhu di dalam kapal terbang, wajib bagi penumpang yang mengerjakan sembahyang untuk menghadap kiblat di sepanjang sembahyangnya.

    Sekiranya dadanya terpaling daripada kiblat disebabkan kapal terbang itu berubah haluan maka wajib dia mengembalikan dadanya ke arah kiblat dengan segera. Jika dia tidak mengembalikannya dengan segera maka batal sembahyangnya.

    Hal ini disebutkan oleh Imam asy-Syarbini Rahimahullah mengenai sembahyang fardhu di atas kapal laut, beliau berkata:

    “Sekiranya tiupan angin mengalihkan haluan kapal laut itu lalu terpaling dadanya daripada arah kiblat, maka wajib dia mengembalikan dadanya ke arah kiblat.

    “Sembahyangnya sah jika dia mengembalikannya dengan segera dan jika dia tidak mengembalikannya dengan segera maka batallah sembahyangnya.”

    Jika penumpang itu tidak mampu menghadap kiblat dalam keadaan berdiri namun dia mampu menghadap kiblat dalam keadaan duduk, maka wajib dia mengerjakan sembahyang fardhu dalam keadaan duduk.

    Ini kerana menghadap kiblat itu adalah lebih dituntut kefardhuannya berbanding dengan tuntutan berdiri, atas asas berdiri itu boleh tidak dilakukan ketika sembahyang sunat walaupun tanpa keuzuran berbeza dengan menghadap kiblat, ia tidak boleh ditinggalkan tanpa keuzuran.

    Adapun jika penumpang itu tidak mampu untuk menghadap kiblat di dalam kapal terbang disebabkan darurat atau kesukaran seperti tiada ruang untuk sembahyang melainkan di tempat duduknya yang tidak menghala ke kiblat, maka tidak harus baginya meninggalkan sembahyang fardhu itu dan meluputkannya daripada waktu, bahkan dalam hal ini hendaklah dia menunaikan sembahyang fardhu itu sekalipun tanpa menghadap kiblat demi menghormati waktu. Akan tetapi wajib dia mengulang sembahyang fardhunya itu kerana ia merupakan keuzuran yang jarang berlaku.

    Namun kemudahan untuk mengetahui arah kiblat di kebanyakan kapal terbang telah pun disediakan malah ia boleh diketahui sendiri dengan menggunakan alat-alat tertentu seperti kompas atau pun bertanya kepada orang yang tahu mengenai arah kiblat.

    5. Sembahyang berdiri

    Berdiri merupakan rukun dalam sembahyang fardhu. Ia wajib dilakukan bagi mereka yang mampu berdiri. Adapun orang yang tidak mampu berdiri hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan duduk. Manakala jika dia tidak mampu berdiri dan duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan berbaring sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya juga maka dengan cara baring mengiring.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Sembahyang yang telah dikerjakan dengan cara duduk atau berbaring tidak lagi perlu diulang setelah seseorang itu mampu berdiri apabila keuzurannya sudah tidak ada lagi.

    Maksud ‘tidak mampu berdiri’ bukan hanya bermaksud dalam erti kata lemah tidak dapat berdiri, bahkan termasuk juga kerana takut kecederaan berlaku ke atas dirinya, takut mendatangkan kesusahan yang berat, pening kepala atau seumpamanya

    Oleh itu, penumpang yang mampu sembahyang berdiri dalam kapal terbang adalah wajib dia mengerjakan sembahyang dengan berdiri. Adapun penumpang yang mempunyai keuzuran untuk berdiri seperti yang tersebut di atas adalah boleh mengerjakan sembahyang fardhu itu dengan duduk di atas kerusinya.

    Cara mengerjakan sembahyang dengan duduk adalah seperti berikut:

    Takbiratulihram berserta niat dan bacaan surah al-Fatihah dilakukan dalam keadaan penumpang itu duduk.

    Rukuk dalam keadaan duduk, sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut.

    Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

    I‘tidal dalam keadaan duduk ialah kembali kepada keadaan sebelum rukuk iaitu duduk dengan betul. Jika dia tidak mampu untuk kembali dengan duduk betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.

    Sujud bagi orang yang sembahyang duduk sama sahaja seperti sujud biasa iaitu dengan meletakkan dahi ke lantai. Jika dia tidak mampu untuk sujud seperti biasa, maka perlu dilihat kepada dua keadaan berikut:

    Pertama: Jika dia mampu untuk melakukan sekurang-kurang rukuk atau rukuk yang paling sempurna ketika dalam keadaan duduk akan tetapi tidak melebihi daripada kadar sempurna rukuk itu, maka lakukan kadar yang termampu itu sekali untuk rukuk dan sekali lagi untuk sujud sekalipun kadar perbuatannya itu sama.

    Kedua: Jika dia mampu untuk melakukan kadar yang melebihi daripada kadar rukuk yang sempurna, maka wajib dia rukuk dengan tidak melebihi kadar sempurna rukuk itu. Sementara sujud pula dilakukan dengan kadar yang melebihi rukuk yang sempurna itu bagi membezakan antara sujud dan rukuk.

    Adapun jika orang yang bersembahyang duduk itu tidak mampu juga untuk melakukan rukuk dan sujud seperti yang dijelaskan di atas, maka hendaklah dia melakukan rukuk dan sujud tersebut dengan isyarat kepala. Isyarat dengan menundukkan kepala bagi sujud itu lebih rendah berbanding dengan rukuk.

    Jika dia tidak mampu rukuk dan sujud dengan isyarat kepala maka lakukanlah dengan isyarat mata. Jika dia tidak mampu juga berbuat demikian maka lakukanlah dengan hati.

    Demikian penjelasan bagaimana mengerjakan sembahyang dalam kapal terbang.

    Tuntutan sembahyang fardhu itu tetap wajib dilaksanakan. Kesulitan-kesulitan semasa berada dalam kapal terbang itu sepatutnya tidak dijadikan sebagai satu alasan untuk meninggalkan sembahyang kerana ia boleh diatasi dan ada jalan keluar yang telah diaturkan oleh syara‘ mengenainya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...