Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Menunaikan sembahyang dalam kapal terbang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Satu

    Tuntutan menunaikan sembahyang fardhu lima waktu ke atas seorang muslim yang mukallaf adalah berterusan dan tidak ada kelonggaran untuk meninggalkannya selama mana akal fikiran sedar dan waras dan tidak ada keuzuran tertentu yang diiktiraf oleh syara’.

    Sekalipun seorang itu dalam keadaan sakit, sibuk, musafir, berperang ataupun ketika berada di dalam kenderaan seperti kapal terbang, kewajipan sembahyang fardhu lima waktu itu tetap wajib dilaksanakan.

    Kesukaran-kesukaran yang dihadapi ketika sakit, musafir dan sebagainya bukanlah menjadi halangan atau alasan untuk tidak mengerjakan sembahyang. Contohnya ketika dalam musafir atau pelayaran, keadaan dalam kapal terbang dari segi ruang kawasannya yang sempit dan terbatas, ditambah lagi dengan kepadatan penumpang, sering dijadikan halangan atau alasan untuk tidak mengerjakan sembahyang.Maka berhubung dengan perkara ini, persoalan yang ingin kita jelaskan di sini ialah bagaimana cara mengerjakan sembahyang dalam kapal terbang.

    Secara umumnya, cara mengerjakan sembahyang dalam kapal terbang sama sahaja dengan cara mengerjakan sembahyang di tempat biasa kecuali dalam beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan, ia dilakukan dengan cara lain menurut tatacara yang digariskan oleh syara‘.

    Perkara penting yang perlu dipenuhi ialah syarat-syarat sah sembahyang dan rukun-rukun sembahyang seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk hendaklah dilakukan sebagaimana mengerjakan sembahyang di tempat biasa.

    Cara yang lebih efisien ialah dengan menggunakan alat penyembur (spray) untuk berwudhu’ dengan mengikut cara-cara yang betul dalam membuat semburan air.
    Cara mengerjakan sembahyang dalam kapal terbang sama sahaja dengan cara mengerjakan sembahyang di tempat biasa kecuali dalam beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan.

    Namun dalam keadaan-keadaan yang tertentu, memang tidak dinafikan adakalanya syarat atau rukun sembahyang tersebut sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya. Apabila perkara seperti ini berlaku sebahagian orang menjadikannya sebagai halangan atau alasan untuk tidak mengerjakan sembahyang sedangkan pada hakikatnya ia dapat diatasi.

    Syarat-syarat sah sembahyang itu ialah suci daripada hadats, suci daripada najis, menutup aurat, mengetahui masuk waktu sembahyang dan menghadap kiblat. Berikut penjelasan lanjut mengenainya.

    1. Suci daripada najis

    Suci daripada najis yang tidak dimaafkan adalah salah satu syarat sah sembahyang. Jika bersembahyang dalam keadaan menanggung najis maka tidak sah sembahyang. Oleh itu, hendaklah dipastikan tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang suci daripada najis yang tidak dimaafkan.

    Ketika berada di kapal terbang, ada sebilangan orang mengerjakan sembahyang dengan senghaja memakai kasut. Sungguh pun mengerjakan sembahyang dengan memakai kasut itu dibolehkan dan tidak menjejaskan kesahihan sembahyang, namun perlu dipastikan bahawa kasut yang dipakai ketika sembahyang itu benar-benar suci daripada najis yang tidak dimaafkan. Maka sebagai langkah berjaga-jaga adalah lebih elok jika kasut itu ditanggalkan ketika hendak sembahyang kerana kasut itu mudah terdedah pada kotoran dan najis tanpa disedari.

    2. Berwudhu’

    Tuntutan berwudhu’ sebelum sembahyang ketika berada dalam kapal terbang adalah sama dengan tuntutan berwudhu’ di tempat biasa. Namun sebilangan orang merasa sukar untuk berwudhu’ di dalam kapal terbang kerana takut air wudhu’ akan membasahi kawasan tandas. Kesukaran membasuh kaki ketika berwudhu kerana keadaan tandas yang sempit juga sering menjadi alasan untuk tidak melakukan sembahyang.

    Pada hakikatnya untuk melaksanakan wudhu’ tidak semestinya memerlukan air yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kawasan tandas basah. Air yang digunakan untuk berwudhu’ itu adalah memadai sekadar cukup untuk meliputi keseluruhan anggota wudhu’.

    Sebagai langkah untuk mengelakkan air dari membasahi kawasan tandas, kita perlu bijak seperti berhati-hati ketika membasuh anggota wudhu’ dan menggunakan air yang secukupnya sahaja. Selain itu, lantai juga boleh dialas dengan meletakkan tisu atau seumpamanya untuk mengelak lantai dibasahi air.

    Selain itu, antara langkah untuk mengelakkan air dari membasahi kawasan tandas juga ialah membasuh anggota-anggota yang wajib dan membasuhnya dengan sekali basuhan sahaja ketika berwudhu’. Anggota yang wajib itu ialah muka, kedua-dua tangan hingga ke siku, sebahagian kepala dan kedua-dua kaki hingga ke buku lali. Namun perlu diingat, setiap basuhan itu hendaklah meliputi keseluruhan anggota wudhu’ dengan air yang mengalir.

    Cara yang lebih efisien ialah dengan menggunakan alat penyembur (spray) untuk berwudhu’ dengan mengikut cara-cara yang betul dalam membuat semburan air seperti air yang disembur itu cukup untuk meliputi keseluruhan anggota wudhu’ dengan air yang mengalir. Malah berwudhu dengan menggunakan spray ini, mudah dilaksanakan walaupun berada di tempat duduk masing-masing.

    Cara menggunakan alat penyembur ini sama ada dengan menyemburkan air terus ke anggota wudhu sehingga air itu mengalir dan diratakan pada keseluruhan anggota berkenaan atau pun menyemburkannya ke tapak tangan terlebih dahulu sehingga air itu bertakung, kemudian baharulah meratakannya ke anggota wudhu’.

    Dalam keadaan yang tertentu, jika seseorang itu menghadapi kesukaran untuk berwudhu’ dalam kapal terbang kerana diarahkan untuk tidak meninggalkan tempat duduk masing-masing disebabkan masalah cuaca buruk dan seumpamanya, berwudhu dengan menggunakan spray masih boleh dilaksanakan. Sekiranya air sukar diperolehi di tempat duduk dan penumpang tidak dibenarkan meninggalkan tempat duduk, maka dalam keadaan ini, seseorang itu harus bertayammum bagi membolehkannya mengerjakan sembahyang sebagaimana diharuskan bertayammum bagi mereka yang takut terjatuh daripada perahu apabila mengambil air laut.

    Dalam keadaan yang sama seperti di atas, jika seseorang itu tidak mampu juga untuk bertayammum seperti tidak memperolehi debu tanah, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang walaupun tanpa wudhu’ dan tayammum bagi menghormati waktu sembahyang. Tetapi hendaklah dia mengulangi sembahyangnya itu setelah hilang keuzuran tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...