ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
BOSAN dengan kisah drama berunsurkan melodrama dan romantik sebagaimana yang kerap kali ditampilkan dalam kebanyakan siri drama Korea.
Kini sebuah siri drama Voice diarahkan oleh Kim Hong-sun dan skripnya ditulis oleh Ma Ji-won cuba untuk menampilkan kelainan dengan menyelitkan unsur detektif dan thriller.
Siri drama ini dibintangi oleh beberapa orang pelakon hebat Korea seperti Jang Hyuk, Lee Ha-na, Baek Sung-hyun, Yesung, SonEun-seo, Kwon Hyun-Joong, Choi Byung-mo dan ramai lagi.
Pada dasarnya, kisah dalam siri drama Voice ini memperlihatkan latar utama di sekitar unit panggilan kecemasan di sebuah ibu pejabat polis.
Manakala kisah yang cuba untuk disampaikan dalam siri drama ini lebih terarah kepada watak dua orang detektif yang bekerjasama untuk seorang pembunuh berantai yang membunuh keluarga mereka.

Moo Jin-hyuk lakonan Jang Hyuk adalah seorang bekas detektif yang berubah menjadi seorang yang bersifat panas baran berikutan daripada rasa bersalah kerana sibuk dengan kerjayanya ketika isterinya dibunuh tiga tahun yang lalu.
Sementara Kang Kwon-joo lakonan Lee Ha-na pula adalah seorang polis wanita yang sangat tabah dan memiliki kemahiran dalam seni mempertahankan diri dan bijak dalam merencana pelbagai solusi untuk menyelesaikan sesebuah masalah.
Ternyata, Kang Kwon-joo adalah polis yang bertugas di dalam bilik panggilan kecemasan dan turut menerima panggilan daripada seorang wanita iaitu isteri kepada Moo Jin-hyuk yang menelefon unit kecemasan untuk meminta pertolongan daripada penceroboh yang masuk ke dalam rumahnya.
Namun, nasib jelas tidak menyebelahi isteri Moo Jin-hyuk apabila beliau menjadi mangsa korban yang dilakukan oleh penceroboh tersebut.
Di sebalik itu, penceroboh yang mengetahui bahawa Kang Kwon-joo terlibat dalam menjadi orang tengah apabila menerima panggilan kecemasan tersebut juga turut menerima satu bahana daripada penceroboh tersebut apabila mendapati bahawa bapa kesayangannya tutut menjadi mangsa korban di mana ia dianggap sebagai satu ancaman.
Dari situ, Jin-hyuk dan Kwon-joo telah berhasrat untuk bekerjasama dengan menubuhkan kumpulan Golden Time untuk menyelesaikan masalah pembunuhan tersebut bersama-sama demi menumpaskan kegiatan pembunuh bersiri tersebut sekaligus menegakkan keadilan.
Justeru, sekiranya anda berhasrat untuk mengetahui kesudahan sama ada misi Jin-hyuk dan Kwon-joo itu berjaya dilaksanakan atau tidak jangan terlepas untuk terus menonton siri Voice sehingga ke penghujungnya.
































