Menyamar atasi pencerobohan

KUCHING, 9 JULAI –  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( APMM) akan memperluaskan kaedah penguatkuasaan yang membabitkan anggotanya menyamar sebagai nelayan tempatan bagi menangkap bot nelayan asing yang menceroboh perairan Sarawak.

Pengarah APMM Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Robert Teh Geok Chuan berkata kaedah penguatkuasaan itu berjaya dilaksanakan sekitar perairan zon Kuching sejak Mac lepas dengan kerjasama nelayan tempatan berikutan agensi itu kekurangan aset bagi mencegah pencerobohan nelayan asing seluruh  perairan negeri ini.

“Saya sudah maklumkan kepada pengarah-pengarah Maritim zon Miri, Bintulu dan Tanjung Manis untuk menjalin kerjasama ini dengan para nelayan, kerana aset kita kurang,” katanya pada sidang media mengenai penangkapan nelayan asing dari Vietnam di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di Muara Tebas, di sini, hari ini.

Teh mengulas kenyataan Pengerusi Pesatuan Nelayan Sarawak (Penesa), Jam Hajimi baru-baru ini bahawa pencerobohan nelayan asing di perairan Sarawak menjejaskan penangkapan ikan di Miri, Bintulu dan Sibu.

Beliau berkata anggota penguatkuasa agensi itu yang menyamar sebagai nelayan akan mengikut nelayan tempatan keluar menangkap ikan menggunakan bot mereka. – Bernama

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Laksamana Pertama Maritim, Robert Teh Geok Chuan meninjau empat buah vesel nelayan asing yang berjaya ditahan oleh APMM ketika sedang menangkap ikan di perairan Sarawak di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di Muara Tebas kelmarin. – Bernama