Menyambut kedatangan bulan Ramadan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Majlis Keagamaan Bagi Menunggu Hasil Merukyah Anak Bulan Ramadan 1439 Hijrah telah diadakan kelmarin, bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.
Hadir di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut sama hadir ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Ketua Hakim Syarie,Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama juga selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Acara Keagamaan Bagi Menunggu Hasil Usaha Rukyah Awal Bulan Ramadan 1439 Hijrah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Haji Awang Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin yang merupakan Johan Qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1439H/2018M yang lalu.

Majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah dan seterusnya Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menghadiri Majlis Keagamaan Bagi Menunggu Hasil Merukyah Anak Bulan Ramadan 1439 Hijrah kelmarin.
Antara yang hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Multaqa, KHEU.