Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Menyebar hadis melalui media sosial

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan dari minggu lepas

    Siri Tiga

    “Barangsiapa yang melakukan pendustaan terhadapku, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Hadis ini merupakan satu amaran keras ke atas siapa sahaja yang berdusta atau menisbahkan apa sahaja bentuk dusta kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Janji neraka dalam hadis berkenaan sudah cukup menggambarkan bahawa perbuatan meriwayat atau menyebarkan hadis maudhu‘ merupakan satu jenayah yang sangat besar di sisi Islam.

    Ia satu perbuatan khianat dan derhaka yang selayaknya ditakuti dan dijauhi oleh seluruh umat Islam. Bahkan menurut Imam Abu Muhammad al-Juwaini Rahimahullah, perbuatan ini jika disengajakan akan mengakibatkan kekufuran. Bagaimanapun, jumhur berpendapat bahawa ia tidaklah mengakibatkan kekufuran melainkan jika pelakunya beriktikad bahawa berdusta ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sesuatu yang halal dan dibenarkan.

    Manakala Imam adz-Dzahabi Rahimahullah pula berkata dalam kitabnya al-Kaba‘ir bahawa melakukan satu dusta terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menisbahkan sesuatu kepadanya secara bohong boleh mengakibatkan kekufuran sekiranya ia dalam perkara mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram, katanya: “Dan tidak syak lagi bahawa perbuatan sengaja berdusta terhadap Allah Ta‘ala serta Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkara mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram sudah memadai untuk mengakibatkan kekufuran…”.

    Berhati-hati menyebarkan hadis di media Sosial

    Telahpun dijelaskan sebelum ini bahawa meriwayat dan menyebarkan hadis maudhu‘ merupakan satu dosa besar dan satu perbuatan yang dijanjikan neraka. Bahkan kita juga dilarang daripada meriwayat dan menyebarkan hadis-hadis yang dikhuatiri maudhu‘ atau berkemungkinan tidak sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Bagaimana pula kedudukannya jika perkara ini dilakukan bukan dengan sengaja dan bukan dengan niat buruk, akan tetapi disebabkan jahil, lalai, silap atau kurang berhati-hati dalam mengambil maklumat sepertimana yang berlaku dalam kalangan sebilangan masyarakat yang suka mengongsikan dan menyebar-nyebarkan (ataupun yang lebih dikenali pada masa ini dengan istilah share, forward atau copy and paste apa sahaja yang diterimanya tanpa usul periksa, yang mana, termasuk dalam sebaran serta perkongsian tersebut adalah hadis-hadis maudhu‘ dan tidak ada asalnya? Adakah ia termasuk dalam kecaman serta janji buruk di atas? Atau adakah golongan ini dimaafkan atas kejahilan serta kecuaian mereka?

    Menurut ulama, berhati-hati dalam mengambil dan menyebarkan hadis hukumnya wajib. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, sebagai menjaga kesucian hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sayugia tidak diterima mana-mana hadis kecuali daripada sumbernya yang betul serta ahlinya yang muktabar.

    Ulama-ulama besar Islam sangat bersungguh-sungguh dan berhati-hati dalam menilai kesahihan sesuatu hadis sekalipun mereka adalah orang-orang yang diperakui dan tinggi ilmunya. Sebagai contoh, Imam al-Auza‘ie Rahimahullah, sebaik sahaja mendengar suatu hadis, beliau akan merujuk terlebih dahulu kepada pakar-pakar hadis untuk mendapatkan kepastian tentang status keshahihannya.

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri menegah daripada meriwayatkan dan menyebarkan hadis kecuali jika hadis tersebut benar-benar sabit sahih daripada Baginda.
    Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya beliau telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda di atas mimbar yang maksudnya:

    “Wahai sekalian manusia, jauhi oleh kamu terlalu banyak meriwayatkan hadis daripadaku.

    Barangsiapa yang menisbahkan suatu kata kepadaku, maka janganlah dia berkata-kata kecuali yang hak – atau semata-mata yang benar. Maka barangsiapa menisbahkan suatu kata kepadaku padahal aku sendiri tidak pernah mengatakannya, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka.” (Hadis riwayat Ibn Majah, ad-Darimi dan Ahmad)

    Jika kita baca serta amat-amati sirah para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mendampingi serta mendengar sendiri hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam secara langsung daripada Baginda, kita dapati mereka ini sangat berhati-hati serta sangat berwaspada dalam meriwayatkan suatu hadis. Mereka tidak akan meriwayatkan suatu hadis kecuali jika mereka benar-benar yakin akan ketepatan periwayatan mereka itu.

    Ini tidak lain adalah kerana mereka khuatir akan melakukan kesilapan dalam periwayatan mereka yang mungkin sekaligus akan mengakibatkan mereka menisbahkan sesuatu yang tidak benar kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam secara tidak sengaja. Sikap ini lahir daripada keikhlasan serta kesungguhan mereka untuk memelihara kemurnian agama Islam serta mempertahankan kesucian sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Bukan itu sahaja, bahkan dalam menerima hadis yang didatangkan oleh para sahabat yang lain pun, mereka ini cukup tegas, ketat dan kritis. Ini jelas dengan adanya beberapa riwayat di mana para sahabat menuntut daripada perawi yang juga daripada golongan sahabat supaya bersumpah atau mendatangkan saksi bagi membuktikan bahawa riwayat yang mereka bawakan adalah sabit dan shahih daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini bukan kerana mereka ragu, buruk sangka atau kurang percaya akan para sahabat yang lain, jauh sekali menuduh mereka berdusta.

    Bahkan ini mereka lakukan semata-mata kerana mahu memastikan hadis-hadis Baginda suci dan selamat daripada sebarang kekurangan atau tokok tambah. Dengan ini, kesucian dan ketulenan syari‘at Islam akan terus terpelihara.

    Bagaimanapun, sikap prihatin serta waspada para sahabat ini tidaklah menghalang atau membantutkan usaha mereka daripada menyebarkan hadis serta ajaran Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sememangnya tidak ada golongan yang lebih tekun dan bersungguh-sungguh berjuang dalam mempertahan dan menyebarkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih daripada para sahabat Baginda yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta‘ala ini. Sikap prihatin serta waspada para sahabat ini sewajarnya dicontohi dan sepatutnya menjadi peringatan supaya sentiasa berhati-hati dalam meriwayat dan menyebarkan hadis Baginda.

    Apabila para sahabat serta para ulama muktabar salaf dan khalaf sangat berwaspada serta sangat berhati-hati dalam meriwayat, menerima riwayat serta menyebarkan hadis-hadis Baginda, maka siapakah kita ini untuk bertindak terburu-buru, selarah-larahnya dan dengan sewenangnya menyebarkan setiap hadis tanpa usul periksa serta tanpa merujuk dahulu kepada ahlinya?

    Seseorang yang meriwayat atau menyebarkan hadis palsu secara tidak sengaja, umpamanya kerana jahil, terlupa, tersilap, terlalai dan seumpamanya menurut hukum asalnya tidaklah berdosa.

    Ini kerana dalam syara‘, perbuatan tidak sengaja seperti itu adalah dimaafkan daripada menanggung dosa. Bagaimanapun, perbuatan ini jika dilakukan secara terus menerus akan mengakibatkan dosa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...