Menyelamatkan perkahwinan atau sebaliknya?

Ulasan siri TV oleh Zulkamal Haji Kamis

Drama baharu dari Korea Selatan kali ini menampilkan drama yang bertajuk Want a Taste?

Drama ini baharu sahaja disiarkan pada 11 November yang lalu dan disiarkan dalam saluran SBS. Drama ini menggunakan genre romantik, konflik keluarga dan juga kekeluargaan dan dijangka akan mempunyai 120 episod.

Drama baharu ini diarahkan oleh Yoon Ryoon Hae manakala skrip pula ditulis oleh Kim Do Hyun. Want a Taste disiarkan setiap hari Isnin hingga hari Jumaat dan juga dikenali sebagai Mat Jom Bosilraeyo. Drama ini dibintangi oleh beberapa pelakon hebat dari negara itu seperti Shim Yi Young, Seo Ha Jun dan Shin Bi serta banyak lagi.

Kronologi ringkas

Drama Want a Taste ini mengisahkan mengenai Hae Jin lakonan Shim Yi Young yang berusia 36 tahun dan berkahwin dengan Jin Sang di mana enam tahun lebih muda darinya. Hasil perkahwinan itu, mereka mendapat seorang cahaya mata perempuan yang bernama Yoo Ri, yang dilakonkan oleh Shin Bi.

Hae Jin membuka sebuah restoran yang diwarisi daripada ayah mertuanya. Dia turut menyokong keinginan suaminya yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti setempat.

Disebabkan oleh Hae Jin, suaminya itu berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti namun setelah beberapa lama, suaminya itu menjalinkan hubungan sulit bersama seorang wanita bernama Joo Ri, lakonan Han Ga Rim.

Wanita itu merupakan anak seorang bangsawan kaya namun apabila isterinya menyedari akan kelakuan suaminya itu, dia tidak meminta cerai.

Sebaliknya hanya menjalani kehidupannya seperti biasa sehinggalah pada satu hari, dia terjumpa dengan Dae Gu lakonan Seo Do Young. Dae Gu merupakan seorang penulis skrip drama dan diminta untuk menyelesaikan skrip dramanya itu berikutan kehebatannya yang semakin memudar.

Namun dalam masa yang sama, perkahwinan Dae Gu juga turut berada di ambang kemusnahan, justeru, menjadikan Hae Jin tempat dia selalu meluahkan perasaan dan berkongsi cerita yang sama. Apakah yang berlaku antara mereka berempat ini, adakah perkahwinan mereka berjaya diselamatkan atau sebaliknya, anda boleh saksikan drama Want a Taste di saluran SBS.

Drama ini menggunakan genre romantik, konflik keluarga dan juga kekeluargaan dan dijangka akan mempunyai 120 episod.