Islam adalah agama yang syumul dan ajarannya meliputi setiap aspek kehidupan. Antara ajaran yang dibawa ialah pengamalan nilai-nilai Islam dalam proses pembangunan insan.
Nilai-nilai Islam mempunyai peranan penting dalam proses pembangunan insan dan tanpanya kehidupan tidak sempurna. Hal ini kerana, pembangunan insan merupakan salah satu konsep pembangunan yang perlu diberikan penekanan untuk menjamin kesejahteraan hidup dan kelestarian tamadun.
Oleh yang demikian betapa pentingnya semua pihak tidak kira institusi kekeluargaan, kemasyarakatan dan juga pendidikan memainkan peranan masing-masing untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pembangunan insan cemerlang bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.
Di sebalik Minggu Aspirasi Islam
Sehubungan itu, Universiti Brunei Darussalam (UBD) di bawah Eksekutif Keagamaan dan Kerohanian, UBD, baru-baru ini, telah menganjurkan Minggu Aspirasi Islam (IAW) 2023 dari 11 hingga 14 September lalu bertempat di Dewan Inspirasi, Pusat Pelajar, UBD.
Penganjuran IAW kali ke-11 ini merupakan program tahunan di mana pada tahun ini membawa tema Contribution in Islam: Arts, Science and the Great Scholars yang mana ia dipilih untuk memberikan pendedahan kepada warga UBD dan orang awam di negara ini tentang sumbangan ilmu atau dalam sains dan seni oleh tokoh-tokoh Islam. Ia juga sekali gus membuktikan para ulama Islam berjaya mengembangkan banyak idea dan teori dalam pelbagai bidang ilmu dan sumbangan yang membawa banyak impak yang besar kepada masyarakat.
Dalam pada itu, program tersebut juga diharap untuk memantapkan ukhuwah dan mahabbah serta memupuk minat para pengunjung terhadap ilmu Islam yang diketengahkan. Antara pengisian menarik yang turut menyemarakkan program ialah kursus seni kaligrafi, tadabbur Surah Al-Kahfi, pengurusan jenazah, ukhuwah walkaton dan sebagainya.
Sains dan astronomi
Salah sebuah petak pameran yang berjudul Astronomi dan Sains telah diketengahkan oleh salah seorang mahasiswi jurusan Geografi, Alam Sekitar dan Pembangunan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), UBD, Dayang Nur Azra Rizwana binti Haji Riduan bersama rakan-rakan seperjuangannya yang menjelaskan bahawa Islam dan sains itu saling berkait rapat di mana Islam sendiri mempunyai kekayaan sejarah pencapaian saintifik sehingga menyumbang kepada sains dan teknologi.
Mereka menjelaskan bahawa para saintis dan cendekiawan Muslim sememangnya begitu aktif dalam pelbagai bidang penyelidikan dan pembangunan dan institusi Islam sejak dahulu lagi memainkan peranan penting dalam mempromosikan kemajuan sains sehingga mampu dimanfaatkan oleh dunia sehingga kini.
“Sebagai contoh, Ibn Al-Haytam terkenal dengan karyanya dalam bidang optik dan orang yang memperkenalkan kamera obscura serta menerangkan bagaimana mata melihat cahaya.
Begitu juga Ibnu Sina, sebagai seorang doktor dan ahli falsafah di mana beliau menulis karya berjudul The Canon of Medicine iaitu dengan membentangkan ringkasan yang jelas dan teratur tentang semua pengetahuan perubatan pada masa itu, termasuk senarai panjang ubat-ubatan dan ratusan bahan-bahan daripada sumber yang berbeza untuk rawatan pelbagai penyakit,” jelas mereka.
Menyentuh mengenai astronomi, Dayang Nur Azra berkata, astronomi ialah kajian tentang segala sesuatu di alam semesta di luar atmosfera bumi termasuk objek yang boleh kita lihat dengan mata kasar dengan menggunakan teleskop seperti matahari, bulan, planet dan bintang.
Manakala jika dilihat kaitan astronomi dan Islam dapatlah dijadikan sebagai contoh, menerusi solat harian telah diselaraskan dengan tempat matahari di langit dan begitu juga permulaan bulan, seperti Ramadan, bergantung kepada keterlihatan bulan maka dari situlah jelasnya membuktikan astronomi mempunyai tempat utama dalam budaya Islam di dunia.
Sosiologi Islam
Sementara itu, salah seorang mahasiswi dalam jurusan Sosiologi dan Antropologi, FASS, UBD, Dayang Noraqielah Bazilah binti Haji Sazali yang mewakili kumpulan beliau telah mengetengahkan salah sebuah pameran bertajuk Sosiologi Islam bagi membawa para pengunjung memahami tokoh-tokoh Muslim iaitu Ibn Khaldun sebagai bapa sosiologi.
Beliau menulis Muqadimmah, teori-teori masyarakat. Dia menggunakan Al-Quran untuk menjelaskan teori sosialnya dan menganalisis perubahan masyarakat.
Begitu juga Al-Farabi, selaku ahli falsafah Islam pertama yang memisahkan falsafah dan teologi. Beliau mempunyai banyak keistimewaan dan pernah bekerja dengan Ibn Sina. Dia menulis tentang psikologi dan metafizik.
Selain itu, Al-Biruni, sebagai ahli antropologi pertama dan yang pertama mengatakan bahawa the earth goes round its axis, beliau adalah bapa indologi iaitu kajian sejarah, kesusasteraan, falsafah dan budaya India. Beliau juga telah menulis sebuah buku terkenal dipanggil Islamic Anthropology.
Perniagaan berteraskan Islam
Turut berkesempatan ditemui penulis, tiga orang mahasiswi jurusan Bahasa Melayu dan Linguistik, FASS, UBD, Dayang Nur Shazliana Hannani binti Jamil, Dayang Nur Fatinah Syafiqah binti Haji Mohd Patterin dan Dayang Nurin Izz Zawanah binti Zamrani telah mempamerkan projek mereka berjudul Perniagaan Berteraskan Islam.
Mereka menjelaskan agama Islam menggariskan adab yang perlu dijaga dan diamalkan oleh golongan peniaga dan salah satunya ialah memiliki sifat jujur atau amanah dalam menjalankan perniagaan. Menerusi Kitab Al-Adab Fiddin’ karya Imam Ghazali, membicarakan tentang adab-adab ahli perniagaan antaranya seorang peniaga hendaklah mengetahui hukum jual beli secara Islam, jangan mengurangkan sukatan daripada ukuran sebenar, janganlah melanggar kewajipan agama seperti meninggalkan solat semata-mata kerana sibuk menguruskan berniaga dan tidak membayar zakat.
Hati seni
Salah sebuah pameran yang mampu membuka minda para pengunjung tentang keindahan kesenian Islam berjudul Hati Seni telah diketengahkan oleh Awang Muhammad Syahmi bin Soffriana, Dayang Amal Nabilah binti Mohamad Raduan dan Dayang Sofia Amalina binti Mahari.
Mereka menyatakan bahawa dalam Islam juga memiliki nilai-nilai keindahan seni yang pelbagai menerusi syair atau kata-kata hikmah yang diciptakan tokoh-tokoh Islam, seni kaligrafi, keheningan dan kemerduan alunan dalam Islam seperti berzikir, berselawat dan sebagainya.
“Semua keindahan ini perlu disemai dalam memanfaatkan masa terluang di mana ia juga membuktikan bahawa Islam tidak melarang umatnya untuk mengikuti keindahan seni-seni tersebut namun perlunya memastikan perkara yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan ajaran suci yang disyariatkan,” tekan mereka.