ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
BUKU I can’t Make This Up: Life Lessons adalah sebuah buku yang berjaya menjadi karya nombor satu terlaris New York Times hanya dalam sekelip mata. Ditulis sendiri oleh seorang bintang Hollywood dan pelawak terkenal, Kevin Hart.
Kevin Hart telah mengembangkan bakatnya yang besar ke dalam dunia penulisan dengan setiap patah perkataan dan ayat yang digabungkan, menyajikan pembaca sebuah memoir lucu, menyentuh perasaan dan penuh inspirasi mengenai kehidupan, kejayaan dan kepentingan untuk mempercayai diri sendiri. Permulaan kehidupan Kevin Hart yang unik telah memberikannya peluang untuk berkongsi sejarah kehidupannya bersama-sama jutaan peminatnya di seluruh dunia.
Segala-galanya bermula di North Philadelphia. Kelahiran Kevin Hart ke dunia bukanlah sesuatu yang dimahukan oleh kedua ibu bapanya. Ayahnya seorang penagih dadah sentiasa keluar masuk penjara. Abangnya seorang pengedar dadah dan juga pencuri jalanan. Ibunya pula membesarkannya dalam keadaan yang sangat tegas di mana dia sering dipukul menggunakan tali pinggang, periuk belanga dan juga mainannya sendiri.
Menjalani kehidupan begitu, kemungkinan bagi Kevin Hart untuk menjadi seorang yang berjaya dan terkenal di mata dunia seperti yang dicapainya sekarang adalah sepertinya mustahil. Walau bagaimanapun, seperti tokoh terkenal yang lainnya seperti Ernest Hemingway, JK Rowling, dan Chocolate Droppa sebelumnya, Kevin Hart juga berjaya mengubah kehidupannya.

Di dalam buku debutnya ini, Kevin Hart akan membawa pembaca menyelusur kehidupannya dahulu dan sekarang, bagaimana dia berhadapan dan mengatasi setiap cabaran yang datang untuk menjadi dirinya sekarang, dan menjadi pelawak paling terkenal di dunia, di mana setiap tiket-tiket persembahan dan filem-filem lakonannya sentiasa laris terjual sehingga mencecah keuntungan lebih daripada AS$3.5 bilion.
Kejayaan besar yang dicapainya bukan sahaja kerana kerja kerasnya yang tidak kenal erti penat lelah, keazamannya yang tinggi dan bakatnya semata-mata. Bahkan ia juga adalah kerana perspektif uniknya dalam melihat dunia di sekelilingnya. Seperti buku yang mempunyai bab-bab, Kevin Hart beranggapan bahawa kehidupan juga mempunyai bab-babnya tersendiri yang mana setiap insan haruslah menulisnya sendiri.
Jika anda mempunyai kuasa untuk membuat pilihan bagaimana anda menginterpretasikan setiap bab kehidupan, dan setiap interpretasi itu akan menuliskan bab seterusnya, buatlah pilihan di mana interpretasi anda akan membawa kehidupan anda kepada yang lebih baik, demikian adalah kata-kata azimat yang diungkapkan oleh Kevin Hart sendiri.