Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi & Sahama
BERSEMPENA Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 yang akan diraikan pada 24 Februari ini, penduduk Mukim Serasa juga tidak ketinggalan untuk mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Kebangsaan. Majlis menaikkan bendara tersebut telah diadakan di perkarangan kediaman Penghulu Mukim Serasa, Mejar (B) Haji Johari bin Haji Abdul Razak di Kampung Kapok.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Zon 2 dan juga Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Fizri bin Haji Johari dan seterusnya diikuti dengan perbarisan lalu pembawa bendera negara yang diketuai oleh Pegawai Bersara Waran 1, Awang Jalani bin Haji Mantal.
Seterusnya bendera tersebut diserahkan kepada Penghulu Mukim Serasa.
Kemudian Penghulu Mukim Serasa menyerahkan bendera berkenaan kepada tetamu kehormat, yang mana kemudiannya menyerahkan kepada petugas untuk dinaikkan sambil diiringi dengan lagu kebangsaan negara.
Majlis tersebut turut diwarnai dengan persembahan lagu-lagu patriotik dan penyampaian cenderahati kepada para pengiring pembawa bendera yang disempurnakan oleh tetamu kehormat. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Kapok dan Pemangku Ketua Kampung PRN Meragang, Haji Marali bin Haji Ahmad dan penduduk kampung
Selain itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) baru-baru ini juga turut mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Kebangsaan bertempat di Perkarangan Bangunan Ibu Pejabat, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas yang mana kemudiannya menyerahkan bendera kepada ahli pengakap yang bertugas untuk dikibarkan.
Seterusnya lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dinyanyikan bagi mengiringi upacara menaikkan bendera.
Manakala di Daerah Temburong pula, beberapa orang ahli persatuan pengakap juga turut mengadakan acara yang serupa baru-baru ini.
Upacara menaikkan bendera Kebangsaan tersebut berlangsung di arena Ibu Pejabat Persatuan Pengakap Daerah Temburong di Kampung Lekiun Jalan Labu Daerah Temburong.
Upacara berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Persatuan Pengakap Daerah Temburong (PPDT) dalam menyemai semangat patriotisme para ahli-ahli dan para pemimpin PPDT untuk menghormati serta menjiwai bendera kebangsaan negara sekali gus memeriahkan lagi sambutan hari kebangsaan pada tahun ini.