Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Menyingkap keagungan Al-Quran

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dengan limpah keizinan Allah SWT jua kini sudah lebih seminggu kita dapat meniti nikmat berpuasa di bulan suci Ramadan.

    Kesyukuran dipanjatkan kerana dipanjangkan umur dan diberi kesempatan kepada kita untuk melipatgandakan usaha dan amal ibadat bagi mendapatkan ganjaran pahala di bulan yang penuh mubarak ini.

    Dalam bulan ini terdapat peristiwa agung berlaku dalam sejarah Islam iaitu turunnya kitab suci Al-Quran. Al-Quran diturunkan sebagai pegangan, pedoman dan petunjuk buat sekalian manusia agar hidup sejahtera, aman, tenteram dan selamat di dunia dan di akhirat. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 sebagaimana tafsirnya;

    “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan yang salah.”

    Menyingkap lembaran diturunkan Al-Quran

    Dalam menyelami lembaran sejarah Islam, Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat iaitu sedikit demi sedikit supaya ianya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia merupakan suatu rahmat dan kurniaan yang sangat besar kepada hamba-hambaNya.

    Pegawai Majlis Keelamatan Negara (MKN) Nor Azean Azizan menemu bual seorang banduan wanita pada Program Tautan Kasih Ramadan di Sebalik Tirai Besi di Penjara Sungai Petani. – Bernama
    Ayat-ayat suci itu juga menjadi ubat, penawar dan penyembuh kepada berbagai jenis penyakit.

    Tempoh Al-Quran itu diturunkan pula ialah selama lebih 22 tahun, bermula pada 17 Ramadan tahun 41 dari kelahiran Rasulullah SAW. Dalam tempoh tersebut, Al-Quran telah dihafal oleh Baginda Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh para penulis Al-Quran.

    Adapun ayat Al-Quran yang mula-mula sekali diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat Al-Quran daripada Surah Al ‘Alaq dan kejadian itu berlaku semasa Baginda Rasulullah SAW sedang menyendiri beribadah di Gua Hira sebagaimana tafsirnya:

    “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan sekalian mahluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajarkan manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”

    Sesungguhnya kandungan Al-Quran mencakupi dalam segala segi dan aspek kehidupan, sama ada hubungan manusia dengan Allah atau hubungan manusia dengan manusia seperti dalam hal peribadatan, sosial, ekonomi, budaya, politik dan sebagainya. Malah ayat-ayat suci itu juga menjadi ubat, penawar dan penyembuh kepada berbagai jenis penyakit.

    Rebutlah peluang selagi masih bernafas

    Sesungguhnya dengan membaca Al-Quran, kita akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. Sememangnya terdapat banyak surah-surah yang besar manfaatnya dan kelebihannya jika diamalkan.

    Antaranya Surah Al-Waqiah, surah ini telah lazim diamalkan oleh umat Islam disebabkan fadilatnya yang amat besar. Sesiapa yang membaca surah ini pada tiap-tiap malam, akan terhindarlah ia daripada kepapaan selama-lamanya.

    Manakala bagi sesiapa yang mengamalkan membaca Surah As-Sajdah pula akan mendapat pahala seperti sembahyang pada malam Lailatulqadar, dikurniakan nur pada dirinya ketika mati dan terlepas daripada seksa kubur.

    Sesiapa yang membaca Surah Al-Mulk pula, dosanya akan diampunkan dan dimasukkan ke dalam syurga dan sesiapa yang membaca surah ini pada setiap malam, maka Allah SWT mencegahnya daripada azab kubur.

    Perlu diingat, walaupun beberapa surah dalam Al-Quran itu mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri, janganlah kita hanya membaca surah-surah tersebut dan meninggalkan surah-surah yang lain kerana setiap satu huruf daripada Al-Quran yang dibaca itu ada pahalanya, ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Termidzi dari Abdullah bin Mashud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda sebagaimana maksudnya:

    “Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali ganda.

    Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

    Hakikatnya, betapa banyaknya ganjaran pahala dan fadilat bagi mereka yang membaca Al-Quran, maka kita jadikanlah membaca Al-Quran itu sebagai amalan harian selagi masih dikurniakan nikmat rezeki bernafas di dunia yang sementara ini, bukannya amalan bermusim sekali setahun.

    Jangan hanya di bulan Ramadan saja kita rajin membaca Al-Quran akan tetapi di bulan-bulan yang lain kita lalai dengan kesibukan-kesibukan harian.

    Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita menjadi umat Islam yang sentiasa mencintai Al-Quran, selalu membaca dan menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...