Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Menyusuri keindahan ekopelancongan Tutong

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kecil-kecil cili api, tetap pedas menyengat. Begitulah juga negara kitani Brunei, meskipun kecil, namun jika diterokai pelosok-pelosoknya, pasti menemui sesuatu yang menarik, unik dan berupaya menjadi penyejuk mata bagi mereka yang gemar melancong atau beriadah bersama keluarga mahupun sahabat handai.

    Salah sebuah daerah yang punyai tarikan seumpamanya ialah Daerah Tutong khususnya ekopelancongan berasaskan komuniti yang menjadi magnetnya.

    Tarikan ekopelancongan komuniti

    Sebut sahaja Tutong, mungkin sebahagian kita mengingati pembangunannya beberapa tahun lalu, namun kini ia sebenarnya lebih berkembang maju dan punyai daya tarikan tersendiri khususnya tarikan ekopelancongan yang berasaskan komuniti.

    Produk dan aktiviti seumpama ini semakin mendapat tempat di kalangan pengunjung bukan sahaja dari luar negara, malahan juga penduduk tempatan yang ingin mempelajari dan mendalami nilai-nilai budaya tradisi dan menyelami keunikan kehidupan masyarakat setempat.

    Lamin Warisan yang terletak di Kampung Tanjong Maya terkenal dengan keunikannya dalam memberikan pengalaman merasai cara hidup orang kampung di zaman silam. Bukan sahaja keaslian rumah kayunya yang menjadi tarikan, tetapi setiap sudut rumah penuh dengan barang-barang antik dan warisan bersejarah.

    Lamin Warisan di Kampung Tanjong Maya, salah satu destinasi pelancongan menarik kini yang diketengahkan oleh ahli keluarga Datu Lela Raja Haji Mohd Jair bin Bendahari Haji Ghafar sejak tahun 2012.
    Antara hidangan ala kampung yang disajikan bagi para pengunjung di Lamin Kampung merupakan salah satu tarikan pelancong di Daerah Tutong berkonsepkan rumah ala kampung letaknya di Kampung Penapar, Tanjong Maya, Daerah Tutong yang diusahakan oleh Haji Samihon bin Haji Kechi, manakala gambar sisipan merupakan coklat buatan sendiri Hajah Sauyah.
    Para pengunjung juga boleh menikmati pemandangan sambil menyusuri Sungai Tutong dengan menaiki bot khas dari syarikat perkhidmatan tempatan.

    Salah satu tarikan di Kampung Bukit Udal ialah Homestay Alai Gayoh Anak Pulau (HAGAP), yang menawarkan pelbagai aktiviti bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pengunjung mengenai keunikan budaya, gaya hidup, tradisi dan sejarah masyarakat puak Dusun.

    Hebatnya sentuhan pengusaha tempatan

    Terdapat juga beberapa pengusaha kecil dan sederhana di Daerah Tutong antaranya Syarikat Wira Bina dan Angkasa Oud Agarwood di Kampung Tanjong Maya yang masing-masing berkecimpung di dalam pembuatan minyak kelapa dara dan minyak wangi gaharu.

    Selain itu, sentuhan produk buatan rumah, coklat dihasilkan oleh Hajah Sauyah binti Haji Mahmud menerusi Galeri Lakaba Jaya di Kampung Sengkarai juga menjadi salah satu tarikan pengunjung di daerah berkenaan. Bukan hanya menjual produk coklat semata-mata, beliau juga menawarkan tempahan buah tangan dan juga hantaran berasaskan sentuhan produk coklat bagi majlis-majlis tertentu seperti pertunangan, perkahwinan dan sebagainya.

    Seni kraf tangan berasaskan teknik decoupage juga salah satu produk yang diketengahkannya. Melalui seni berkenaan, barang-barang terbuang atau terpakai seperti besi, plastik, cermin, botol, kotak, beg anyaman serta tin umpama ‘hidup semula’ dan mempunyai nilai yang lebih baik untuk dikomersialkan kepada para pengunjungnya.

    Tawar Experiential Tours

    Experiential tours di Daerah Tutong juga membolehkan para pengunjung untuk melawat kilang pemprosesan sagu di Kampung Ukong; menyaksikan demonstrasi pembuatan parang di 7RKN, Jalan Bukit Sulang atau melawat Tasbee Meliponiculture Farm, di Kampung Sungai Kelugos untuk melihat secara dekat ternakan lebah kelulut dan mencuba sendiri proses menuai madu dalam tempayan lebah kelulut dengan menggunakan alat pam khas.

    Antara yang turut menarik perhatian pengunjung ke Daerah Tutong ini juga adalah aktiviti-aktiviti riadah dan adventure seperti yang ditawarkan oleh Bintudoh Greenspring Resort, Kampung Lamunin.

    Para pengunjung juga berpeluang untuk mendekati payau yang bebas merayau di ladang dan pengalaman memberi makan haiwan di L&S Deer Farm, Kampung Pad Nunok. Selain itu, para pengunjung juga boleh menikmati pemandangan sambil menyusuri Sungai Tutong dengan menaiki bot bermula dari jeti Pantaran Seri Melati.

    Nikmati pengalaman farm-to-table

    Setentunya, tidak lengkap pengalaman bercuti ke sesebuah tempat tanpa merasai keunikan budaya, cara hidup dan masakan tempatan. Para pengunjung ke Daerah Tutong pastinya akan disajikan dengan pelbagai jenis masakan tempatan semasa berkunjung ke tempat-tempat seperti Lamin Warisan, HAGAP dan Eco Ponies Garden.

    Eco Ponies Garden yang terletak di Kampung Bang Nukat, Lamunin sangat terkenal di kalangan pengunjung dengan keunikan persekitaran tamannya yang mengamalkan konsep sustainable farming di samping aktiviti-aktiviti ekopelancongan seperti farm-to-table experience; pembuatan kraf tangan dan Farmers Market.

    Dalam pada itu, Daerah Tutong juga mempunyai beberapa mercu tanda dan tempat-tempat tarikannya yang tersendiri, yang tidak asing lagi bagi seluruh lapisan masyarakat, antaranya Taman Rekreasi Sungai Basong; Taman Warisan Tasek Merimbun dan Taman Kulimambang; Bangunan Pejabat Daerah Lama di Pekan Tutong; Bukit Bendera, Tugu Warisan Emas dan Pantai Seri Kenangan.

    Selain itu, Daerah Tutong juga dikenali dalam kalangan pengunjung ke-rana Tamu Tutong. Lokasinya terletak di Kampung Serambangun, Daerah Tutong, pusat penjaja ini setentunya dihiasi dengan keriuhan suara para penjaja yang kelihatan tetap bersemangat untuk mencari rezeki bagi menyara kehidupan harian.

    Dikenali dengan nama Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong semestinya ia tidak asing lagi bagi pengunjung penduduk asal Daerah Tutong, bahkan mereka yang berasal dari daerah-daerah lain turut sama membanjiri tamu yang menawarkan variasi pilihan produk dan barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, kuih-muih, bunga-bungaan, binatang ternakan dan sebagainya.

    Apa yang pasti, Daerah Tutong juga tidak ketinggalan mengecapi kemajuan dari segi bangunan-bangunan baharu, infrastruktur dan pelbagai lagi. Kemajuan itu bagaimanapun tidak menghakis simpanan pelbagai khazanah dan warisan berharga yang terus dipelihara daripada satu generasi ke generasi lain, untuk ristaan bersama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...