Merapi meletus lagi, muntah abu

JAKARTA, 16 OGOS – Gunung berapi paling aktif Indonesia, Merapi hari ini meletus lagi dan mengeluarkan abu ke udara serta mengalirkan lahar dari kawahnya.

Letusan awal pagi ini menyebabkan abu kelihatan sejauh 3.5km di awan dari gunung berapi dan menyelubungi penempatan masyarakat berhampiran, namun belum ada arahan berpindah atau laporan mangsa korban atau cedera.

Gunung Merapi yang terletak berdekatan dengan ibu kota budaya Indonesia, Yogyakarta di pulau Jawa, dilihat aktif beberapa bulan lalu dan pihak berkuasa meningkatkan tahap bahaya pada akhir tahun lalu.

Agensi Geologi Indonesia dalam satu kenyataan meminta penduduk menjauhi kawasan itu dalam radius lima km dari gunung berapi.

“Penduduk harus menjauhi debu gunung berapi dan mereka telah diberi amaran mengenai kemungkinan aliran lahar di daerah sekitar Merapi,” menurut agensi itu. – AFP

Seorang penduduk kampung berjalan di laluan yang diselimuti abu gunung berapi daripada letusan Gunung Merapi di Magelang berhampiran Yogyakarta, 16 Ogos. –AFP