Merapi muntah lahar merah

JAKARTA, 19 FEB – Salah sebuah gunung berapi paling aktif di dunia, Gunung Merapi meletus dan mengeluarkan lahar merah hari ini, mengekalkan amaran rasmi tahap tertinggi kedua sejak November tahun lalu.

Menurut agensi geologi Indonesia, gunung berapi berhampiran ibu kota budaya Indonesia, Yogjakarta di Pulau Jawa itu memuntahkan lahar hampir 12 kali ganda dalam masa dua hari, mencetuskan ratusan gegaran kecil gunung berapi.

“Hari ini, limpahan lahar dipantau tujuh kali dan bergerak sejauh 700 meter ke barat daya,” kata agensi itu.

Penduduk sekitar turut digesa tidak melakukan aktiviti dalam radius lima kilometer dari puncak gunung itu. Bulan lalu, gunung berapi itu mengeluarkan asap dan abu yang melimpah di tepinya.

Pada 2010, letusan gunung berapi itu menyebabkan lebih 300 orang mati dan pihak berkuasa menyelamatkan lebih 280,000 penduduk yang tinggal di sekitarnya. – AFP

Lahar merah mengalir dari Gunung Merapi kelihatan jelas dari Kaliurang di Yogyakarta, 19 Februari. – AFP