Oleh Amri HTZ
KECACATAN bahagian permukaan badan kereta boleh membuatkan pemiliknya runsing terutama bagi mereka yang begitu mengambil berat akan penampilan kereta mereka.
Bahagian kereta yang sering menjadi mangsa dirempuh atau terlanggar adalah bahagian bampar. Kos untuk membaik pulih bahagian tersebut setentunya menelan belanja yang besar terutama jika dihantar kepada bengkel-bengkel membaik pulih walaupun hanya terdapat sedikit calar. Jika bahagian bampar anda hanya terdapat calar, ia boleh dibaiki sendiri dengan peralatan yang betul dan boleh mengurangkan kos perbelanjaan untuk membaik pulih.
Barang-barang yang diperlukan
Pada projek kali ini, anda perlu menyediakan satu tin cat sembur mengikut warna kereta, cat primer automotif, cat clear coat automotif, kertas pasir 800 dan 1000 grit, kertas surat khabar, pita perekat, scuff pad, tisu, penghilang gris (remover), simen automotif dan span kertas pasir.
Langkah yang perlu dilakukan
Pada langkah pertama, lekatkan pita perekat pada luar bahagian atas (lampu dan bonet) kenderaan anda dengan berhati-hati. Pastikan pita perekat yang dilekatkan tidak mengandungi ruang yang terdedah kerana ia akan menjejaskan cat badan kenderaan anda ketika proses mencat nanti. Selain bahagian atas kenderaan anda, bahagian bampar yang terdapat aksesori atau lampu tambahan pada bampar juga perlu dilekatkan pada bahagian luarnya dengan pita perekat. Selesai melakukannya, lekatkan kertas surat khabar terpakai dengan menutup bahagian-bahagian yang telah dilekatkan dengan pita perekat bagi mengelakkan daripada terkena cat pada proses mencat.




Pada langkah kedua, gosok bahagian yang calar menggunakan kertas pasir 800 grit sehingga permukaan bampar yang digosok rata. Bagi menggelakkan terjadinya permukaan yang tidak rata atau bergelombang ketika menggosok bampar tersebut, gunakan span khas kertas pasir pada bahagian belakang kertas pasir tersebut. Bagi bahagian yang terlalu ketara atau calar yang terlalu dalam, tinggalkan bahagian ini untuk proses yang seterusnya nanti.
Pada langkah ketiga pula, bersihkan bahagian bampar yang telah digosok menggunakan tisu atau tuala yang bersih menggunakan penghilang gris. Langkah ini adalah untuk memastikan bahagian permukaan bampar yang dirawat bersih dan mudah untuk simen automotif untuk melekat dan tahan lama.
Pada langkah keempat pula, bahagian calar yang terlalu ketara atau dalam perlu dirawat dengan menggunakan simen automotif. Campurkan simen yang telah tersedia pada satu tempat khas dengan nisbah 100:1 (bahagian simen mentah 100, manakala pes pengeras 1 bahagian). Campurkan sehingga warna simen anda berubah dan sapukan pada bahagian calar dengan memberikan sedikit tekanan. Simen yang disapukan hendaklah nipis dan hanya sekadar untuk menutup ruang calar yang dalam. Jika terlalu tebal, ia akan menyukarkan anda untuk menggosoknya supaya rata dengan permukaan bampar nanti. Biarkan simen mengering lebih kurang dua ke tiga jam sebelum melakukan proses yang seterusnya.




Pada langkah kelima, setelah simen mengering sepenuhnya, gosok permukaan simen menggunakan kertas pasir yang sama seperti proses awal menggosok sebelum ini iaitu kertas pasir berukuran 800 grit. Selepas meratakan simen automatif tersebut, gunakan kertas pasir 1000 grit dengan melebihkan lebih kurang empat inci di luar kawasan yang dirawat. Langkah ini adalah bagi memastikan cat yang disemburkan nanti melekat dan tahan lama.
Pada langkah keenam, semburkan cat lapisan primer sekitar kawasan yang telah dirawat secara nipis. Biarkan lapisan pertama mengering selama lima minit sebelum menyemburkan lapisan kedua. Pastikan kesemua kawasan yang terdedah selepas digosok tadi ditutup dengan lapisan cat primer.
Pada langkah ketujuh, setelah memastikan lapisan primer yang disemburkan mengering, gosok menggunakan kertas pasir 1000 grit sehingga permukaan bampar terasa rata. Kemudian lap permukaan dengan tisu atau tuala bersih sebelum memulakan proses seterusnya.
Pada langkah kelapan, semburkan cat automotif sesuai dengan warna kereta yang telah dibeli. Semburkan cat secara nipis pada lapisan pertama dan memastikan jarak ketika menyemburkan cat pada enam ke 10 inci. Ini bagi memastikan cat yang disemburkan tidak meleleh pada permukaan bampar. Biarkan lebih kurang lima minit untuk lapisan pertama mengering sebelum menyemburkan lapisan kedua.
Pada proses terakhir, setelah memberikan masa untuk cat mengering pada proses sebelumnya,semburkan clear coat automatif pada permukaan yang telah diwarnakan. Seperti proses sebelumnya, lapisan pertama hendaklah lapisan yang nipis. Tunggu cat mengering sebelum melakukan lapisan kedua dan ketiga. Biarkan cat anda mengering selama beberapa hari (mengikut cuaca panas) sebelum menggosoknya dengan serbuk kompaun.