Merawat dan melindungi haiwan terbiar

ISTANBUL – Akibat terlalu menitikberatkan kesihatan seekor kucing berwarna hitam yang berkeliaran di sekitar kampus universiti di mana dia bekerja, Mevlude mengambil dan membawa kucing tersebut ke sebuah klinik haiwan khusus untuk haiwan jalanan yang dikendalikan oleh pihak perbandaran Istanbul.

Kebanyakan pengunjung di bandar Turki itu, terkejut melihat kucing dan anjing menjadikan kawasan lereng tempat tinggalnya dan berkeliaran di kawasan kedai-kedai serta kafe-kafe tanpa menghiraukan tahap kondisi penjagaannya.

Seperti Mevlude, ramai penduduk Istanbul cuba membantu haiwan berkaki empat khususnya di kawasan kejiranan mereka, meletakkan mangkuk berisi makanan dan menawarkan perlindungan melalui pintu atau tingkap kediaman mereka. Kini, pegawai-pegawai Istanbul cuba meningkatkan usaha untuk memastikan kesihatan haiwan jalanan sentiasa dalam keadaan yang baik malah penduduk tempatan juga berpeluang untuk bermesra dengan haiwan-haiwan ini.

Penjagaan haiwan tersebut boleh dilihat di ‘Vetbus’ iaitu sebuah bas bergerak yang boleh ditemui di mana-mana kawasan di bandar Istanbul, di mana Mevlude membawa kucing hitam itu kerana salah satu matanya telah tertutup dan sukar untuk dibuka selama beberapa hari.

Bas itu berperanan sebagai klinik mudah alih yang ditempatkan selama beberapa hari di kawasan yang berbeza di sekitar Istanbul. “Kami sering berhubung dengan majlis perbandaran apabila kami terserempak dengan haiwan yang memerlukan penjagaan,” kata Mevlude sambil memaklumkan bahawa mata kucing hitam itu sudah dalam keadaan baik dan sudah terbuka.

Baru-baru ini, seekor anak anjing berjaya menarik perhatian orang ramai namun masih belum berjaya menemui tuan yang sudi untuk memeliharanya. – AFP

Baru-baru ini, seekor anak anjing berjaya menarik perhatian orang ramai namun masih belum berjaya menemui tuan yang sudi untuk memeliharanya. – AFP

“Penduduk tempatan lazimnya akan membawa haiwan mereka untuk diberikan suntikan anti-parasit,” kata Nihan Dincer, doktor haiwan yang bekerja untuk Perbandaran Metropolitan Istanbul (IBB). “Disebabkan haiwan ini sering berdepan dengan masyarakat, ia juga perlu dilindungi dan dijaga,” tambahnya kepada media.

Tradisi Islam

“Kepekaan penduduk tempatan Istanbul terhadap penjagaan haiwan-haiwan ini diadaptasikan berdasarkan tuntutan tradisi Islam, khususnya semasa pemerintahan Empayar Uthmaniyyah,” kata Mine Yildirim, bakal doktor di New School untuk Penyelidikan Sosial di New York. Semasa zaman pemerintahan Uthmaniyyah, penduduk sentiasa bergerak dari rumah mereka ke masjid dan ke pasar-pasar sambil ditemani dengan kucing dan juga anjing, tambah Mine.

Kemudian pada awal abad ke-20, terdapat pembasmian dasar sebagaimana yang pernah dilakukan di kawasan barat malah pada tahun 1990an, pejabat bandar telah meletakkan racun di kawasan jalanan untuk membunuh haiwan-haiwan jalanan, kata Mine. Undang-undang perlindungan haiwan telah berjaya diluluskan pada tahun 2004 di Turki untuk melindungi dan menjaga haiwan-haiwan jalanan di negara tersebut.

Di Istanbul, IBB terus berusaha mengekalkan enam pusat kesihatan haiwan. Matlamat mereka adalah untuk memberikan vaksin, mensteril dan mengurus sekitar 130,000 anjing dan 165,000 kucing yang terbiar dan tinggal di jalanan, menurut perbandaran negara itu.

Haiwan yang dilengkapi dengan mikrocip, kemudian akan dikembalikan semula ke tempatnya ditemui, kecuali haiwan yang bakal dipelihara oleh tuan baharu semasa ia menjalani rawatan di pusat kesihatan haiwan tersebut.

Disebabkan perkembangan perkhidmatan ini, pihak perbandaran telah merawat sekitar 73,608 haiwan pada tahun 2018 berbanding 2,470 pada tahun 2004.

Belum ada kes rabies dicatatkan di Istanbul sejak tahun 2016, menurut perbandaran yang telah memberikan pekerjaan kepada 100 doktor haiwan dan juruteknik veterinar.

Walaupun pihak perbandaran tidak mahu mengatakan berapakah kos perkhidmatan, Menteri Pertanian dan Perhutanan, Bekir Pakdemirli berkata bahawa bulan lalu kementeriannya telah menyediakan sebanyak 31 juta lira Turki bagi menyokong pihak perbandaran untuk menjaga dan melindungi haiwan-haiwan jalanan antara tahun 2009 dan 2018.

“Jika orang ramai tahu berapa wang yang digunakan untuk perkhidmatan ini, berkemungkinan orang ramai akan kecewa, disebabkan itu angka sebenar tidak akan didedahkan,” Yildirim mengulas.

Anjing-anjing terbiar

Sementara haiwan-haiwan jalanan diberi makan, haiwan terbiar di hutan pula sukar untuk mencari makanan sendiri, kata Umut Demir, doktor haiwan di IBB, ketika melakukan rondaan di Hutan Belgrade di Istanbul. Satu tan makanan diagihkan setiap hari di mana kebanyakan anjing terbiar berkeliaran, khususnya berdekatan dengan hutan.

Menurut Tugce Demirlek, ketua doktor haiwan di pusat kesihatan daerah Sultangazi, fakta bahawa haiwan diberi makan dan dijaga dengan baik adalah untuk memastikan ia sentiasa tenang dan membatasi tingkah laku yang agresif. Namun bilangan anjing kekal stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun terdapat usaha pensterilan. “Kami mensterilnya secara bersistematik, tetapi haiwan yang tidak kami tangkap akan terus membiak,” jelasnya.

Anak-anak anjing akan terus dilahirkan setiap tahun di Istanbul, di mana seekor anak anjing berwarna kuning emas baru berusia 40 hari ditemui bersendirian, merangkak cuba menyeberangi jalan.

Sebaik sahaja diperiksa, anak anjing tersebut sudah sedia untuk diambil sebagai haiwan peliharaan dan gambar anjing itu dipaparkan di Vetbus. Baru-baru ini, anak anjing tersebut berjaya menarik perhatian orang ramai namun masih belum berjaya menemui tuan yang sudi untuk memeliharanya. – AFP