Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Mercedes-Benz sekali lagi diakui sebagai salah satu jenama yang paling diidamkan di dunia dengan menduduki tempat kelapan dalam ranking Jenama Global Terbaik oleh syarikat perunding jenama Amerika Syarikat (AS) yang terkemuka, Interbrand.
Dengan anggaran nilai jenama AS$49.268 bilion, ia adalah satu-satunya syarikat Eropah yang berada di kedudukan 10 teratas.
Naib Presiden Pemasaran di Mercedes-Benz AG, Bettina Fetzer dipetik sebagai berkata, “Seluruh pasukan Mercedes-Benz berbangga sekali lagi menjadi antara 10 Jenama Global Terbaik tahun ini, dan mempertahankan kedudukan kami sebagai jenama automotif mewah paling berharga di dunia untuk tahun keempat berturut-turut.
“Kunci kejayaan kami adalah tumpuan konsisten kami terhadap keperluan pelanggan dan memberikan yang terbaik menggunakan pelbagai format digital dan fizikal,” tambah beliau.
Saat dunia dilanda pandemik COVID-19 ini jelas membuktikan bahawa jenama-jenama yang berjaya adalah lebih bertahan berbanding sebelumnya, walaupun dalam masa-masa sukar.