TUSCALOOSA, ALABAMA, 16 MAC – Mercedes-Benz telah membuka kilang bateri kenderaan elektrik baharu berhampiran Tuscaloosa, Alabama, yang akan mewujudkan sehingga 600 pekerjaan baharu.
Pengeluar kereta Jerman itu berkata kelmarin bahawa kilang di Bibb County dibuka beberapa bulan sebelum Mercedes merancang untuk mula membuat dua SUV semua elektrik di kilang pemasangan besar di Tuscaloosa berdekatan.
Kilang baharu itu akan membekalkan bateri untuk SUV EQS dan EQE, yang akan dibina untuk jualan di Amerika Syarikat (AS) dan untuk eksport, kata syarikat itu dalam satu kenyataan. Mercedes berkata ia membelanjakan kira-kira AS$1 bilion untuk loji bateri dan menaik taraf barisan pemasangan di Tuscaloosa untuk membuat kenderaan elektrik.
Kilang bateri Alabama akan membuat bateri litiumion dengan kimia termaju yang mengandungi nikel, kobalt dan mangan, kata Mercedes.
Ia adalah satu daripada enam kilang bateri yang syarikat itu rancangkan termasuk dua di Jerman, masing-masing satu di China dan Thailand dan satu di Poland. Mercedes merancang untuk membina EV di tujuh loji di tiga benua.
Mercedes sudah menggaji kira-kira 4,500 orang di kilang pemasangan Tuscaloosa, yang menghasilkan kira-kira 260,000 SUV tahun lalu. Kilang itu boleh membina kenderaan enjin pembakaran dalaman pada barisan yang sama seperti kenderaan elektrik, kata Mercedes.
Pembuat kereta itu berkata ia akan menjadi elektrik sepenuhnya menjelang akhir dekad, bergantung pada keadaan pasaran. Syarikat itu merancang untuk membina lapan loji sel bateri di seluruh dunia bersama rakan kongsi.
“Mercedes-Benz akan mengembangkan perkongsiannya dengan syarikat teknologi bateri terkemuka dunia,” kata kenyataan itu. – AP