Mercedes dominasi kelayakan

SILVERSTONE, 14 JULAI – Valtteri Bottas mengatasi saingan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton semalam apabila dia meraih petak utama ketika Mercedes menempah petak depan bagi Grand Prix British.

Pemandu Finland itu, yang ketinggalan 31 mata di belakang juara bertahan Hamilton dalam perebutan gelaran musim ini, mencatatkan pusingan terpantas dengan 1 minit dan 25.093 saat bagi mendahului wira setempat itu dengan hanya 0.006 saat.

“Ia sangat bagus dan ia mengingatkan kami kenapa kami melakukannya,” kata Bottas, tersenyum selepas meraih petak utama GP British dan merupakan ke-10 dalam kerjayanya.

“Ia sangat sengit dengan Lewis dan saya sangat gembira untuk mendapat pusingan yang bagus serta petak utama.”

Hamilton, yang memburu kemenangan rekod keenam di acara tanah air berkata, “Tahniah kepada Valtteri, dia melakukan tugas dengan sangat baik. Ia tidak cukup bagus tetapi ini adalah GP terbaik tahunan disebabkan tenaga yang dibawa oleh semua orang.”

Ia merupakan barisan depan Mercedes buat kali ke-64 bagi GP.

Charles Leclerc dari Ferrari berada di tempat ketiga, hanya 0.079 saat di belakang Bottas, di depan Max Verstappen dan rakan sepasukan Red Bull, Pierre Gasly. Sementara juara empat kali Sebastian Vettel berada di kedudukan keenam buat Ferrari.

Leclerc berkata, “Saya fikir Mercedes telah meningkatkan enjin mereka sedikit dan mereka sangat bagus di selekoh, yang mana kami sedari merupakan perkara yang perlu kami perbaiki.”

Daniel Ricciardo berada di kedudukan ketujuh buat Renault, di depan Lando Norris dari McLaren dan Alexander Albon dari Toro Rosso. Manakala pemandu Renault, Nico Hulkenberg di tempat ke-10. – AFP

Valtteri Bottas ketika menerima anugerah kelayakan selepas meraih kedudukan utama selepas sesi kelayakan di Silverstone. – AFP