Mercedes lancar kereta elektrik mewah

FRANKFURT, JERMAN, 18 APRIL – Daimler AG baru-baru ini melancarkan kenderaan elektrik baharu untuk model sedan mewah Mercedes-Benz tatkala pengeluar kereta Jerman itu menambah cabaran mereka terhadap Tesla.

EQS merupakan kenderaan Mercedes-Benz pertama yang dibina menggunakan rangka kerja yang direka sejak dari awal sebagai kereta elektrik, dan bukannya menggunakan komponen daripada teknologi pembakaran.

Mercedes menekankan ciri-ciri teknologi kereta dengan melengkapinya dengan panel skrin sentuhan besar yang menjangkau seluruh bahagian depan kereta sebagai mengganti papan pemuka konvensional.

EQS adalah anak syarikat kepada firma yang mengeluarkan kenderaan sedan konvensional S-Class, model jenama mewah syarikat yang dijual dengan harga AS$110,000 dan ke atas. Kedua-dua kereta menyasarkan pasaran mewah, walaupun EQS berbeza kerana dibina berdasarkan seni bina kenderaan elektrik syarikat, atau EVA. Mercedes masih belum mendedahkan harga EQS apabila ia dilancarkan kepada pelanggan pada akhir tahun ini.

Daimler berkata kenderaan itu akan mendapat 770 kilometer caj sepenuhnya di bawah standard biasa yang digunakan di Kesatuan Eropah. Syarikat itu menawarkan cas percuma selama setahun menerusi Ionity, rangkaian stesen mengecas lebuh raya yang dibina oleh sekumpulan pengeluar kereta besar.

Pengeluar kereta Jerman adalah lebih perlahan dalam membangunkan model elektrik sehingga peraturan alam sekitar yang lebih ketat dan jualan yang merosot kepada Tesla mendesak mereka mempergiat usaha mereka. Volkswagen menjual 422,000 kenderaan elektrik pada tahun lalu dan membangunkan kereta kompak ID.3 yang diharapnya akan memenangi pembeli pasaran, sementara divisyen Porsche telah melancarkan kereta sports Taycan. Manakala BMW pula telah melancarkan SUV elektrik iX3. – AP

Gambar serahan Mercedes menunjukkan kereta mewah EQS di Stuttgart, Jerman. Mercedes memperkenalkan EQS pada pelancaran dunia digital di platform media Mercedes pada 15 April lalu. – AP