Mercedes tarik balik 660,000 kenderaan

BEIJING, 5 JULAI – Mercedes-Benz akan menarik balik lebih daripada 660,000 kenderaan di China pada akhir tahun ini disebabkan kemungkinan berlakunya kebocoran minyak.

Satu penutup di antara pam minyak tekanan tinggi dan paip minyak tekanan rendah mungkin menjadi lemah, membenarkan minyak bocor apabila enjin dihidupkan dalam cuaca sejuk, menurut satu notis yang disiarkan pada minggu lalu di laman sesawang Pentadbiran Negeri China untuk Kawalan Pasaran.

Agensi berita rasmi China Xinhua melaporkan penarikan balik hari ini.

Penarikan balik 668,954 buah kenderaan akan bermula pada 18 Disember. Ia termasuk beberapa model yang dikeluarkan di antara Februari 2013 dan Jun 2017, termasuk kenderaan C-class, E-class, V-class, GLK-class, CLS-class, GLC SUV dan VS20 VITO.

Kebanyakan kenderaan dikeluarkan di China oleh Beijing Benz Automotive Co. Kira-kira 12,500 dibina oleh Fujian Benz Automotive Co. dan kira-kira 36,000 diimport.

Peniaga akan mengganti alat yang rosak secara percuma.

Pengumuman itu menyusuli satu lagi penarikan balik 4,653 kereta sedan C-class Mercedes import yang bermula pada bulan lalu, di mana ia mempunyai label kunci keselamatan kanak-kanak yang tidak betul, kata Xinhua.

Kenderaan berkenaan dikeluarkan di antara 14 Februari 2018 dan 24 September 2019. – AP

Pekerja memeriksa kereta yang baru dipasang di kilang Beijing Benz Automotive Co. Ltd, usaha sama Jerman untuk Mercedes-Benz di Beijing pada 13 Mei 2020. – AP