Merchantrade perkukuh kedudukan di Singapura

KUALA LUMPUR, 23 JULAI – Merchantrade Asia Sdn Bhd membeli kepentingan tambahan dalam Kliq Pte Ltd Singapura (Kliq) yang meningkatkan kepentingannya daripada 49 peratus kepada 70 peratus untuk memperkukuh kehadirannya dalam pasaran kiriman wang digital di negara itu selain pasaran pindahan wang Asia Pasifik yang semakin berkembang.

Langkah pembelian itu dijangka selesai pada Ogos 2020.

Merchantrade Asia adalah penyedia perkhidmatan pindahan wang, pengeluar e-wang, perkhidmatan mata wang borong dan perkhidmatan tukaran wang yang mempunyai 84 cawangan runcit di pusat beli-belah utama di seluruh negara.

Pengarah Urusannya Ramasamy K Veeran berkata sejak bertahun-tahun, Merchantrade berjaya membina nama sebagai jenama yang dipercayai di peringkat domestik dan antarabangsa, melabur dalam platform pengiriman wang yang menghubungkan kepada 40 bank dan 25 bukan bank di peringkat global. – Bernama