Merck, Pasteur tamat kajian vaksin Covid-19

PARIS, 25 JAN – Institut Pasteur Perancis berkata hari ini ia akan menamatkan pembangunan vaksin COVID-19 dengan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Merck selepas keputusan percubaan klinikal terbukti mengecewakan.

Rakan perkongsian itu mengumumkan gabungan pada Mei lalu untuk membangunkan suntikan berdasarkan vaksin campak, yang memulakan percubaan Fasa 1 pada Ogos.

“Dalam percubaan manusia pertama, vaksin prospektif dapat diterima tetapi menghasilkan respons ketahanan yang lemah berbanding yang diperhatikan dalam orang yang telah sembuh secara semula jadi dan mereka yang diperhatikan dalam vaksin yang diluluskan,” menurut kenyataan dari Institut Pasteur.

Pengumuman memberikan tamparan hebat kepada harapan untuk vaksin pimpinan Perancis berikutan berita terbaharu bahawa syarikat farmaseutikal Sanofi juga bergelut untuk memperkenalkan vaksin di pasaran.

Sanofi mengumumkan pada Disember bahawa suntikannya akan tersedia pada akhir 2021 dan kumpulan itu kini diberi dorongan oleh kerajaan untuk membantu menghasilkan vaksin yang telah pun diluluskan untuk kegunaan di Eropah.

Ia termasuk produk dari gabungan Jerman-AmerikaBioNTech/Pfizer dan kumpulan AS Moderna.

Keputusan untuk menghentikan vaksin COVID-19 berdasarkan suntikan campak ‘tidak memberikan sebarang impak ke atas penyelidikan oleh Institut Pasteur dalam dua calon vaksin lain yang menggunakan metodologi berlainan,” katanya. – AFP

Gambar fail menunjukkan ibu pejabat Merck di Kenilworth, New Jersey. Syarikat itu akan berhenti menghasilkan vaksin COVID-19 selepas mencatat keputusan lemah dalam kajian peringkat awal. – AP