Merdeka disambut penuh patriotik

KUALA LUMPUR, 31 OGOS – Sambutan Hari Kebangsaan 2020 pasti kekal di ingatan rakyat Malaysia kerana buat pertama kalinya ia diraikan dalam suasana normal baharu seiring keadaan negara yang masih ‘berperang’ menentang COVID-19.

Pun begitu, keadaan tersebut yang membataskan kehadiran orang ramai ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan tidak mematahkan semangat patriotik rakyat untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap negara dengan cara tersendiri termasuk berkongsi momen dan  ucapan di media sosial. Menggunakan tanda pagar #malaysiaprihatin dan #momennegaraku, kebanyakan rakyat turut berkongsi gambar mengibarkan Jalur Gemilang serta menzahirkan harapan agar Malaysia terus sejahtera.

Buat julung kalinya, Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ dan terhad kepada dif kehormat, anggota keselamatan dan petugas bagi memastikan majlis berjalan mengikut prosedur operasi standard.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Dataran Pahlawan Negara pagi ini dan disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan  isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri Datin Norlin Shamsul Bahri. Usai nyanyian ‘Negaraku’, Seri Paduka berdua berangkat ke Dewan Serbaguna Dataran Pahlawan Negara dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Titah Diraja bersempena Hari Kebangsaan 2020 yang merupakan tumpuan utama sambutan tahun ini. – Bernama

Pengunjung cilik, Hafiy Amsay Hafizul memegang bendera Malaysia dengan memakai baju berkonsepkan Jalur Gemilang bagi bersama meraikan Hari Kebangsaan 2020 ketika tinjauan di Tugu Negara hari ini. – Bernama