Mereka perlu terus bersemangat – Ajai

Ajai berharap lapan peserta Big Stage 2020 yang masih bersaing tidak terus meratapi pemergian Allahyarham Sandra Dianne, sebaliknya bangkit membuktikan kemampuan.

Ajai atau nama sebenar, Mohd Faizal Maas, 44, mahu bakat muda terus kuat menghadapi cabaran daripada segi mental dan fizikal.

“Bagi saya, mereka perlu teruskan kerana Big Stage 2020 adalah pertandingan, ia perlu dihabiskan. Pemergian Sandra kita tidak jangka… Ia adalah qada dan qadar.

“Ini juga bermaksud peserta perlu kuat daripada segi emosi, mental dan fizikal. Mereka perlu ambil perkara ini sebagai semangat untuk teruskan perjuangan. Ambil semangat Sandra untuk memberi yang terbaik,” katanya kepada media.

Ajai berharap pemergian Sandra dan kedukaan yang dirasai semua pihak bukan menjadi alasan untuk mengalah.

Ajai mahu bakat muda terus kuat menghadapi cabaran daripada segi mental dan fizikal. – Agensi

“Sekiranya peserta bersedih ketika persembahan, ia akan memberi kesan kepada markah. Jadi, mereka perlu fokus. Saya tahu orang akan bercakap, tapi kita ada kerjaya untuk diteruskan,” katanya.

Ajai turut berkongsi pernah mencipta lagu buat Allahyarham Sandra, bagaimana lagu bergenre balada berjudul Biarlah Ia Berlalu itu tidak dapat dirakamkan.

“Saya ada cipta lagu untuk arwah tetapi disebabkan pertukaran syarikat pengurusan, jadi projek itu ‘senyap’ begitu sahaja.

“Saya cipta lagu ikut penyanyi. Sandra mempunyai suara yang tidak ‘stereotype’. Disebabkan itu, saya akan simpan lagu itu kerana bagi saya, itu lagu untuk arwah,” katanya.

Sandra atau nama sebenar, Alessadra Dianne Ampuria, 26, yang popular dengan lagu Hey! Kau meninggal dunia, Jumaat lalu selepas enam hari tidak sedarkan diri Hospital Putrajaya.

Konsert Big Stage 2020 minggu kelima yang sepatutnya berlangsung, Ahad lalu, digantikan dengan konsert tribute istimewa.

Lapan peserta yang berjaya ke peringkat suku akhir Big Stage 2020 adalah Usop, Azzam Sham, Qody Rani, Fadh Majid, Nana Sheme, Farisha Iris, Hafiz Zainal dan Dinie Rashid. – Agensi