Merentasi detik kegemilangan di bulan Februari

Oleh Salawati Haji Yahya

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM terus berkembang maju dalam pelbagai bidang dan ini dapat dilihat melalui pencapaian sepanjang bulan Februari 2018.

Menteri-menteri kabinet baharu angkat sumpah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,berkenan berangkat ke Majlis Mengangkat Sumpah bagi Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan-timbalan Menteri baharu bagi tempoh lima tahun yang berlangsung di Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman, pada 1 Februari yang lalu.

Majlis mengangkat sumpah tersebut diadakan dihadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang juga Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah selaku Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendahului senarai 15 menteri-menteri kabinet baharu.

Taman Botani UBD dirasmi

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat dan menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Antarabangsa Pertama ‘Ethnobotani Dalam Al-Quran dan Hadith – Sebuah Penerokaan’ di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), pada 4 Februari lalu.

Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan mengenai kekayaan Negara Brunei Darussalam dengan sumber kepelbagaian bio hutan tropika dan UBD telah mengenal pasti penyelidikan herba dan perubatan sebagai tumpuan utama untuk penyelidikan dan perkembangan.

Selain mengumpul, membiak dan memelihara pelbagai flora dan spesis-spesis tanaman, penubuhan Pusat Penyelidikan Botani itu juga menyumbang sebagai penyelidikan dan pemerdagangan.

Pusat tersebut telah mengenal pasti sekitar 200 tumbuhan dan 100 spesis pokok yang tumbuh di kawasan yang dianggarkan seluas lima ekar hutan gambut tropika yang dikenali sebagai ‘Keranggas’.

Baginda Sultan berkenaan mengurniakan watikah pelantikan kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat dan menyempurnakan perasmian Taman Botani di UBD pada 4 Februari lalu.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada 20 Februari 2018, berkenan mengurniakan anak-anak kunci rumah kepada seramai 601 orang penerima di RPN bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, berkenan berangkat ke Majlis Mengangkat Sumpah bagi Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan-timbalan Menteri baharu bagi tempoh lima tahun yang berlangsung di Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman, pada 1 Februari yang lalu.
Raptai Upacara Menaikkan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di kawasan lapang Kompleks Yayasan pada 15 Februari lalu.
Brunei dan Jepun terus memperkukuh dan memperkuatkan lagi kerjasama dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar Pertama antara kedua-dua negara pada 11 Februari lalu.
BSP dengan kerjasama BIBD dan Bank Baiduri telah melancarkan Program Kemudahan Kredit BSP bagi membantu syarikat-syarikat tempatan pada 12 Februari lalu.
Menteri Pembangunan semasa menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Pelan Strategik Kementerian Pembangunan di kementerian berkenaan yang diungkayahkan oleh Divisyen Penyelaras Polisi dan Pelan Strategik (PCSP) pada 27 Februari lalu.

Hindari kronisme, nepotisme

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah pada 7 Februari 2018, bahawa untuk menjadi pemimpin, keperluan untuk menguatkan amalan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) adalah sangat mustahak.

Baginda bertitah,”Jangan sekali-kali cuba menganut ideologi atau sistem lain daripada ideologi dan sistem MIB. Kalau mahu jadi pemimpin yang baik, maka peganglah kuat-kuat prinsip ini dan juga jangan jadi pemimpin mabuk kuasa, melakukan apa saja untuk kepentingan diri sendiri, lebih daripada kepentingan untuk negara.

Di antara tanda-tanda pemimpin mabuk kuasa itu ialah licik mengatur rancangan atau strategi bagi kepentingan sendiri seperti mengamalkan kronisme dan nepotisme untuk mengukuhkan kedudukan dan kuasa.”

Bincang kerjasama

Negara Brunei Darussalam dan Jepun mempunyai hubungan dua hala yang baik dan usaha memperkukuh dan memperkuatkan lagi kerjasama tersebut dibincangkan lebih lanjut dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar Pertama antara kedua-dua buah negara, pada 11 Februari 2018 di Hotel Radisson, di ibu negara.

Pada mesyuarat itu, TYT Taro Kono menekankan kepentingan memperkukuhkan kerjasama dan hubungan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam sempena Jepun menjadi negara penyelaras ASEAN dan meraikan ulang tahun ke-45 tahun Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.

Pada mesyuarat itu juga, kedua-dua menteri membincangkan kerjasama meluas daripada hubungan dua hala yang lebih menumpukan perdagangan gas asli cecair (LNG) dan pelaburan syarikat Jepun dalam bidang tenaga.

Bantuan kepada syarikat tempatan

Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Bank Baiduri, pada 12 Februari 2018, telah melancarkan Program Kemudahan Kredit BSP bagi membantu syarikat-syarikat tempatan.

Majlis yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, Empire Hotel & Country Club, Jerudong itu juga diselajurkan dengan penandatanganan perjanjian di antara BSP dengan BIBD dan Bank Baiduri.

Menurut kenyataan yang diberikan, BSP, BIBD dan Bank Baiduri komited untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Brunei selaras dengan matlamat jangka masa panjang kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di bawah Wawasan 2035 di mana mereka bersama-sama berusaha untuk memudahkan pembiayaan kepada perniagaan tempatan di bawah terma Program Kemudahan Kredit BSP.

Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34

Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-34 secara rasminya bermula pada 15 Februari lalu dengan Upacara Menaikkan Bendera Besar yang berlangsung di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara.

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh pegawai hal ehwal masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis diteruskan lagi dengan menyaksikan anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) berarak masuk bagi penyerahan dan penerimaan bendera besar Negara Brunei Darussalam daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Bendera besar dinaikkan oleh anggota TLDB dengan iringan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ oleh kumpulan koir Sekolah Menengah Berakas yang terdiri daripada 34 penuntut lelaki dan 34 orang penuntut perempuan yang diiringi Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Kurnia raja prihatin

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada 20 Februrai 2018, berkenan mengurniakan anak-anak kunci rumah kepada seramai 601 orang penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di helipad di Bukit Beruang telah dijunjung oleh Menteri Pembangunan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), Kampung Bukit Beruang, Tutong itu telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Beliau dalam sembah alu-aluannya menjelaskan seramai 301 orang menerima rumah jenis kluster dan 53 orang menerima rumah jenis teres di bawah RPN Bukit Beruang bagi Daerah Tutong dan 247 orang pula menerima rumah jenis teres di bawah RPN Lumut dan Lorong Tengah Seria bagi Daerah Belait.

Berani terajui pembangunan

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyeru kepada generasi muda untuk berani tampil menerajui pembangunan bagi melihat negara melangkah lebih jauh sebagai sebuah negara maju.

“Ini adalah matlamat suci negara yang merdeka. Harapan ini lebih-lebih lagi perlu turut digalas oleh generasi muda, dari itu, para belia perlu mengambil peluang untuk meningkatkan keupayaan diri masing-masing melalui program-program yang ditawarkan dalam atau luar negeri,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-34, tahun 2018 di Istana Nurul Iman, pada 22 Februari 2018.

Titah Baginda lagi, para belia sepatutnya lebih terpanggil untuk menerajui pucuk pimpinan badan-badan sukarela, mahupun syarikat-syarikat. Para belia yang biasanya kaya dengan idea-idea baharu, pasti berani untuk menghadapi pelbagai cabaran. Merekalah yang diharapkan untuk memberikan nafas baru kepada segala usaha pembangunan dalam negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menekankan negara serius menjayakan Wawasan 2035 apabila terus mengekalkan tema sambutan ‘Menjayakan Wawasan Negara’ untuk sambutan Hari Kebangsaan.

Usaha tingkat taraf hidup asnaf

Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), telah memilih dua orang daripada peserta program berkenaan untuk mengikuti latihan kemahiran di Institut Kemahiran Baitulmal (IKB), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Labuan.

Sehubungan itu, majlis Doa Selamat dan penandatanganan dokumen per-janjian antara pihak PROPAZ dan dua orang peserta berkenaan telah diadakan di Dewan Teratai, Tingkat 5, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pada 22 Februari 2018.

Hadir bagi menyaksikan penandatanganan tersebut ialah Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.

Kedua-dua peserta berkenaan ialah Awang Muhd Nur Hazwan Syafiee bin Razimi, 21, yang akan mengikuti Kursus Teknologi Binaan Bangunan dan Awang Mohd Zulhilmi bin Ajak, 25, akan mengikuti Kursus Perkhidmatan dan Penyajian Makanan.

Penghantaran dua orang peserta PROPAZ berkenaan adalah hasil daripada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOMS) ke-42 bagi Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) pada 25 hingga 28 Oktober 2017 di Yogyakarta, Indonesia yang membincangkan bidang kerjasama antaranya meningkatkan taraf hidup umat Islam yang memerlukan.

Atur semula strategi

Seiring dengan perubahan ekonomi global yang semakin mencabar, fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Kementerian Pembangunan juga perlu berubah seiring dengan arus transformasi dan keadaan semasa yang dihadapi masa ini.

Sehubungan itu, kementerian perlu memposisikan semula peranannya sebagai pemboleh strategi yang dapat menyokong dasar dan inisiatif kerajaan terutama dalam memangkinkan semula sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan utama ekonomi negara.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Pelan Strategik Kementerian Pembangunan di kementerian berkenaan yang diungkayahkan oleh Divisyen Penyelaras Polisi dan Pelan Strategik (PCSP) pada 27 Februari 2018.

Yang Berhormat Dato menjelaskan, pelan strategik secara menyeluruh perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya kementerian ini terus kekal dalam menerajui pembangunan infrastruktur negara bukan saja pada masa lalu dan hari ini, malah pada masa hadapan.