Meriahkan Hari Kebangsaan Brunei di perantauan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Walaupun berada jauh di perantauan, rakyat Brunei terutamanya para pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara, tidak ketinggalan menunjukkan semangat patriotik dengan mengadakan majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 dalam kalangan mereka.

Persatuan Penuntut-penuntut Brunei di United Kingdom dan Eire (BSUnion) dan Majlis Pelajar Brunei Hall (BHSC) adalah antara yang menyemarakkan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di perantauan dengan mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Acara Mengibarkan Bendera.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Rooslina Weti binti Pengiran Haji Kamaludin selaku tetamu kehormat berserta para tetamu khas, pegawai dan kakitangan serta keluarga penuntut Negara Brunei Darussalam yang berada di UK.

Sambutan didahului dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran pada 22 Februari di Brunei Hall, London, manakala itu, acara mengibarkan bendera Brunei diadakan pada 23 Februari juga di Brunei Hall, London dengan diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negara
Brunei Darussalam beramai-ramai.

Majlis juga menyaksikan tayangan klip video titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Kebangsaan ke-36 dan diteruskan dengan bacaan ikrar dan nyanyian lagu patriotik beramai-ramai.

PYT Pengiran Hajah Rooslina Weti memotong kek Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam semasa sambutan di Brunei Hall, London. – Gambar serahan BSUnion
Gambar ramai para pelajar ketika meraikan Hari Kebangsaan ke-36 di Cardiff. – Gambar serahan BruSCA

Pada 25 Februari, sebahagian penuntut Negara Brunei Darussalam yang menuntut di London juga telah menyertai persembahan semasa Majlis Resepsi sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 di Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di United Kingdom.

Sementara itu, di Cardiff, Persatuan Pelajar-pelajar Brunei Cardiff (BruSCA) turut mengadakan majlis sambutan sempena Hari Kebangsaan ke-36 di Windsor House pada 23 Februari.

Seramai 15 orang ahli BruSCA menghadiri majlis berkenaan dengan memakai pakaian tradisi Brunei atau mengikut warna bendera Brunei.

Pada majlis itu, pelbagai makanan disediakan oleh para pelajar berkenaan dengan tema makanan Brunei, seperti kek batik dan popia ubi.

Majlis telah dimeriahkan dengan pelbagai permainan dan aktiviti yang berkaitan dengan Brunei selain penyampaian anugerah pakaian terbaik sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran Hari Kebangsaan yang ke-36.