Meriahkan rumah dengan bacaan Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Di sekolah Arab, guru menggantikan ibu bapa mengajar Al-Quran, menjadikan guru dan ibu bapa berkongsi pahala kerana mendidik anak-anak membaca Al-Quran.

Tetapi, ibu bapa dan guru diseru untuk terus menggalakkan anak-anak membaca Al-Quran setiap masa.

“Teruskan memeriahkan rumah-rumah kita dengan bacaan Al-Quran manakala bapa, bawa anak-anak ke masjid pada hari Jumaat, latih dan suruh mereka membaca Surah Al-Kahfi.”

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menambah, ini kerana fadilat membaca Surah Al-Khafi sangat hebat, iaitu siapa membaca surah ini pada malam atau siang hari Jumaat, dosanya akan diampunkan sehingga ke hari Jumaat akan datang.

“Beri masa anak-anak untuk berjinak-jinak dengan Al-Quran dan untuk lebih mesra dengan Al-Quran,” tekan Yang Berhormat Pehin lagi dalam ucapannya pada Hafl Al-Takharruj Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan menyampaikan ucapan.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Pehin turut menekankan mengenai ketagihan terhadap media sosial yang katanya, banyak masa digunakan untuk melayani media sosial.

Beliau mengongsikan, baru-baru ini, negara diumumkan sebagai negara ketiga tertinggi dalam carta kategori penggunaan media sosial manakala di seluruh dunia pula, penggunaan itu telah melepasi tanda aras 3.8 bilion orang menggunakan media sosial. Bagi penggunaan Instagram pula, Brunei menduduki tangga ketiga global sementara Facebook di tempat ke-10 dan melibatkan lain-lain aktiviti telefon bimbit iaitu penggunaan aplikasi menyumbang kepada lebih dari 90 peratus jumlah masa yang dihabiskan.

Beliau menekankan, penggunaan masa (terhadap media sosial) yang berlebihan ini perlu diambil perhatian serius.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut menekankan peranan ibu bapa yang ujarnya bukan hanya terhadap anak-anak yang masih kecil atau di bawah umur, tapi hingga mereka besar dan dewasa, masih terus diperlukan.

“Ramai orang apabila anak-anak sudah besar lebih-lebih lagi setelah masuk universiti, ibu bapa bersikap ‘kunci mulut’ dan tidak mahu memberi sebarang teguran atau nasihat, apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka itu semuanya ‘ok’, ujarnya.”

Ini termasuk 24 jam dengan telefon bimbit, berkurung dalam bilik melayari Internet, tidak lagi menggamit perhatian ibu bapa.

“Ini pendidikan kita, berbeza pendidikan Nabi SAW, dari kecil sampai dewasa dan Insya-Allah hingga ke tua jika umur panjang, peranan ibu bapa itu tetap diperlukan dan tetap tidak boleh mati,” tegas Yang Berhormat Pehin.