Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meriam Gunners sudah berkarat

    LONDON, 11 April – Musim malapetaka Arsene Wenger semakin parah apabila Arsenal kecundang 3-0 di Crystal Palace, meletakkan impian berada di kelompok empat teratas semakin tipis.

    Wenger telah menjadi sasaran kritikan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan para penyokong Arsenal yang berang menggesa perletakan jawatannya dan gesaan ke atas bos Gunners itu semakin bingit selepas mengalami antara kekalahan yang menyedihkan di sepanjang 21 tahun mengendalikan Arsenal.

    Memerlukan kemenangan untuk mengekalkan pemburuan dengan pesaing mereka dalam perlumbaan bagi mendapatkan slot Liga Juara-Juara, skuad Arsenal yang tumpul langsung tidak menunjukkan keyakinan dan semangat ketika mereka tumbang kepada lawan mereka awal pagi tadi.

    Andros Townsend meletakkan Palace di depan dalam separuh masa pertama dan Yohan Cabaye menggandakan pendahuluan pasukan tuan rumah selepas rehat.

    Penalti Luka Milivojevic menambah garam di luka Wenger, yang cuba menelan kekalahan pahit kelima dalam lapan perlawanan terakhir mereka.

    Pemain sayap Crystal Palace, Andros Townsend (kiri) ketika menjaringkan gol dalam aksi Liga Perdana menentang Arsenal. - AP
    Pemain sayap Crystal Palace, Andros Townsend (kiri) ketika menjaringkan gol dalam aksi Liga Perdana menentang Arsenal. – AP

    Arsenal, dikalahkan di Palace buat pertama kali sejak 1979, memalukan dan barisan bintang mereka diejek dengan ungkapan “anda tidak layak memakai jersi itu” di saat-saat akhir kekalahan terbesar mereka dalam liga musim ini.

    Wenger menempelak para pengkritik yang mendakwa bahawa dia telah melepasi detik hebatnya dengan menunjukkan rekodnya membawa Arsenal dalam Liga Juara-Juara dalam 19 musim kebelakangan ini.

    Tetapi rekod itu kelihatan tidak akan membantu lagi selepas kekalahan itu yang menyebabkan Arsenal berada di tangga keenam liga, ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan di tangga keempat, Manchester City, meskipun mempunyai kelebihan satu perlawanan.

    Semakin sukar untuk melihat bagaimana Wenger, yang masih belum menandatangani kontrak baru, mampu meneruskan kendaliannya ketika pasukannya semakin berpecah-belah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda