Meringkuk 20 tahun di penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seorang lelaki yang mengaku bersalah membawa masuk dadah jenis Methamphetamine seberat kurang dari 49 gram, mengambil dadah dan memiliki peralatan mengambil dadah, dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dan 15 sebatan oleh Mahkamah Tinggi disini.

Hukuman terhadap Mohd Aizamri bin Nasri diputuskan Ketua Hakim Dato Paduka Steven Chong dan Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli.

Tertuduh yang tiba dari Lawas didakwa memiliki dadah kelas A di dalam kereta yang dipandunya ketika pemeriksaan dijalankan pegawai kastam dan narkotik di Pos Kawalan Labu, Temburong, pada 11 Oktober 2014. Manakala rakan tertuduh, Shah Rony @ Mohammad Zieyad bin Abdul Rahman yang berdepan tuduhan sama mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Tertuduh diwakili Peguam Bela, Daud Ismail, manakala pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Suriana binti Haji Radin dan Siti Aisyah binti Haji Lakim.