Meringkuk di penjara kerana dadah

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan lima bulan terhadap tiga orang tertuduh yang mengaku bersalah memiliki lebih 356 gram methylamphetamine dan alat pengambilan dadah kelas A berkenaan.

Noraini binti Mamudin, Muhammad Zainal bin Haji Jumat dan Haziman Ruwaidi bin Abdul Samat ditahan pada pagi 5 Oktober 2013 oleh pegawai narkotik di Pos Kawalan Kuala Lurah dari Limbang menaiki sebuah kereta di mana satu paket berisi 356.4163 gram dadah dan satu kantung mengandungi peralatan mengambil dadah dengan kesan dadah ditemui dalam
beg pakaian.

Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong menekankan penangguhan selama empat tahun sebelum defendan-defendan dibicarakan pada Februari 2019 di mana mereka pada awalnya didakwa dengan penyeludupan dadah yang membawa hukuman mati.

Seramai 11 orang saksi telah dipanggil tetapi perbicaraan ditangguhkan sehingga Julai 2018 tetapi tidak diteruskan pada hari itu kerana ketua hakim pada masa itu telah bersara dan arahan perbicaraan semula dikeluarkan.

Pada 8 Oktober 2019, defendan-defendan berkenaan dikenakan dakwaan memiliki dadah dan alat pengambilannya yang disetujui oleh mereka dengan segera. Pada penghujung kes, ketua hakim yang bersidang bersama Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni, mempertimbangkan penangguhan yang sangat lama dan pengakuan segera defendan-defendan terhadap pendakwaan terkini apabila menjatuhkan hukuman berkenaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin Kamaluddin dan Timbalan Pendakwa Raya Atiyyah Abas manakala itu, defendan-defendan diwakili oleh Peguam Haji Mohd Daud bin Haji Ismail, Peguam Mohd Shazale bin Haji Mat Salleh dan Peguam Zamri bin Haji Mohd Taha.