Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meringkuk penjara kerana cabul

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Seorang lelaki berusia 55 tahun telah dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan mencabul kehormatan seorang rakan sekerja.

    Dr. Joseph Cheok Van Seng dituduh mencabul kehormatan seorang wanita di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Bab 22, yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan sebat.

    Tertuduh menafikan dakwaan itu dan mendakwa bahawa semasa kejadian pada awal Februari 2014, dia hanya bertemu mangsa di pejabatnya untuk menyalin fail daripada pen drive yang dibawanya ke komputer mangsa.

    Tertuduh menyatakan bahawa mangsa memintanya masuk ke stesen kerjanya supaya dia (tertuduh) dapat menunjukkan fail mana yang perlu disalin. Tertuduh kemudian melutut sebelah mangsa untuk membantunya.

    Selepas menyalin fail, kedua-dua mereka berdiri, bagaimanapun, tertuduh berasa pening dan hilang keseimbangan yang menyebabkannya jatuh.

    Tertuduh percaya bahawa dia mungkin terlanggar mangsa apabila dia jatuh.

    Tertuduh turut mendakwa bahawa pada masa kejadian, dia berada di bawah pengaruh ubat yang diambilnya untuk melegakan sakit otot dan kesan-kesan sampingan ubat tersebut adalah termasuk hilang keseimbangan.

    Namun begitu, Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman tidak mempercayai keterangan yang diberikan oleh tertuduh dan menyabitkan tertuduh dengan sewajarnya.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurjauinah binti Haji Kula mewakili Pendakwa Raya, sementara tertuduh diwakili oleh Rozaiman Abdul Rahman daripada Messrs Rozaiman Abdul Rahman dan Veronica K. Rajakanu daripada Messrs Zuls Partners Law Office.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda