Merkel disuntik vaksin Moderna lepas AZ

BERLIN, 22 JUN – Canselor Jerman Angela Merkel menerima suntikan vaksin koronavirus Moderna sebagai suntikan keduanya, selepas mendapat vaksin AstraZeneca (AZ) sebagai dos pertama, kata jurucakap hari ini.

Pemimpin berusia 66 tahun itu mengambil dos pertama vaksin AstraZeneca pada April, lebih dua minggu selepas pihak berkuasa Jerman menyarankan menggunakan suntikan tersebut untuk penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.

Merkel akan meletak jawatan pada tahun ini selepas menerajui pucuk kepimpinan selama 16 tahun.

Pada 2019, beliau mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatannya dengan beberapa siri insiden menggeletar di khalayak ramai tetapi nampaknya berada dalam keadaan baik sejak itu.

Selepas kempen yang perlahan, vaksinasi Jerman telah meningkat pesat dalam beberapa minggu ini.

Setakat hari ini, satu dalam dua, atau 51.2 peratus daripada populasi telah menerima dos pertama mereka. – AFP

Canselor Jerman Angela Merkel semasa menghadiri sidang media selepas mesyuarat di Berlin, Jerman kelmarin. – AFP